Friday, October 23, 2009

Pengalaman Pertama Gua Duduk Asrama - 4 (Episod Last)

Esoknya, gua dan Palong pun pergilah mengangkat locker baru gua. Mudah la gua nak isi baju lepas ni. Boleh sorok-sorok bedak Follow Me gua. Menurut abang gua, di asrama ni mengamalkan konsep 'Barang Mu BArang Ku Jua'. Jadi, kenalah hati-hati jaga barang sendiri. Takut budak-budak yang jenis tak tau malu dan kurang kasih sayang ni akan ambil barang-barang gua. Nasihat abang gua, gua sematkan dalam hati.

Sepanjang seminggu berada di asrama, gua terpaksa menempuhi minggu orientasi yang menyeksakan. Pagi sampai ke petang dengar taklimat. Mata dah naik merah, telinga dah mula bernanah. Ada seorang member gua siap boleh tidur stail macam Mr. Bean tidur dalam gereja. Atas sebab itu nama dia sampai sekarang orang panggil Bean. Petang-petang pula kena berjogging sambil nyanyi lagu Negaraku, lagu Negeri Sembilan dan lagu-lagu karut marut. Entah apa benda la senior-senior ni ajar nyanyi lagu macam tu. Dah rasa macam memuja syaitan je gua rasa. Tapi gua untung, gua tak payah jogging. Gua cuma kena berlakon saja. Untung beb berlakon, berlakon dengan gadis manis...maafkan gua, gadis-gadis yang berlakon dengan gua tak ada yang manis-manis pun, boleh tahan saja manisnya. Ini jenis gula yang kalau semut nampak, bila terdesak baru kerumun. Kalau tak, buat tak tau saja.

Malam-malam pula ada roll-call dengan para warden. Warden-warden gua semua muka ganas-ganas. Paling ganas Cikgu Najib. Kedua ganas, Cikgu Husni a.k.a Oni. Ketiga ganas, Encik Fairus dan keempat Cikgu Fazli. Ada sekali Cikgu Fazli ni mengaku dia adalah orang kedua hensem di sekolah gua belajar ni selepas pengetua. Masa tu niat nak menampar muka dia dah memang berkobar-kobar dalam diri gua ni. Tapi mujur gua kool, nanti-nanti jela gua tunaikan hasrat gua tu. Mana tau lepas ni ada jumpa lagi, gua tampar terus tanpa banyak soal.

Sedar tak sedar, dah seminggu gua duduk kat asrama ni. Tak ada la bosan mana pun, syok juga. Boleh sembang sampai larut malam. Kat rumah tak dapatnya. Sedar-sedar pukul 10 dah tidur. Tak brader-brader langsung. Tapi bahaya juga sembang-sembang berlebih-lebih had. Ada sekali masa tengah rancak berborak dengan rakan-rakan dorm pasal nak pilih siapa jadi ketua dorm, Cikgu Husni a.k.a Oni masuk tanpa bagi salam. Masa tu lampu dah tutup, gelap. Lalu Oni pun jerit.

"Kalau ada yang kejutkan rimau dari tidur, itu babi namanya!!! Tak reti nak tidur ke hah? Dah tidur!!!"

Peh! Kucar-kacir budak-budak ni berlari pergi katil masing-masing. Mujur masa tu gua dah memang atas katil sendiri. Jadi gua dengan begitu rilek sekali terus baring dan pejam mata sambil memikirkan ayat si Oni tadi. Rasa macam nak bagi King Of Sentence la pada ayat Oni tu. Memang terbaik. Tersenyum-senyum gua sendirian ditemani lampu koridor luar.

Apa-apahal pun, tinggal kat asrama ni memang pengalaman terbaik yang gua pernah ada. Cuma satu saja yang gua menyesal sampai sekarang bila duduk di asrama ni. Gua tak pernah pun ikut rakan-rakan gua nak fly lompat pagar sekolah malam. Tapi apakan daya, masa dah tak boleh nak ke belakang. Tambahan pula, Sang Doraemon tak pernah wujud dan tak akan wujud pada dunia kita ni. Kalau tak, dah lama gua suruh dia buat mesin masa dalam laci meja pejabat gua. Takpun nak lepas gian punya pasal, gua panjat jela pagar kat tempat gua mengajar ni. Siang-siang pun selamba jela. Kalau Pengarah gua nampak, cakap jela gua mengidam. Kalau tak buat nanti anak gua air liur meleleh sampai dewasa. Amacam, ok tak?

1 comment:

  1. memang power la ayat cikgu oi tu.. penuh berseni.. gua syak dia ajar BM..

    ReplyDelete