Tuesday, August 16, 2011

Puisi : Sekilas Ramadhan

Ramadhan.
Tanpaku sedar kau datang.
Mujur pak cik tv ada sound.
Terawih juga aku malam pertama itu.

Ramadhan.
Bila kau datang, bazar pun datang.
Orang ramai berpusu-pusu.
Tangan kanan penuh, tangan kiri pun penuh.
Mujur tak ada yang jatuh menelentang.

Ramadhan.
Bila kau menjelma, teringat juga memori lama.
Membuatkan ku tersengih-sengih.
Orang azan untuk tunaikan solat subuh.
Tapi aku bangun untuk sahur.

Ramadhan.
Nama kawanku.
Kenal semasa sekolah.
Tapi tak pernah orang panggil dia Ramadhan.
Kalau nampak, cuma panggil 'Pak Rem' saja.

Ramadhan.
Kini, kau hampir pergi.
Apalah daya untukku menghalang.
Namun, ia buat ku terfikir.
Ponteng puasa yang dulu entah dah ganti ke belum.
Peh!

Ramadhan...

Wednesday, August 10, 2011

Nostalgia Ramadhan 1.1

Gua tengah cuba ingat apa lagi nostalgia Ramadhan gua yang steady-steady.

Monday, August 8, 2011

Nostalgia Ramadhan

Malam itu kafe yang sememangnya didominasi kaum lelaki kelihatan begitu meriah sekali. Di penjuru kanan kafe kelihatan brader jaga kaunter tengah main kad dengan kawannya. Nampak riuh sekali. Kadang-kadang, brader jaga kaunter itu mengangkat penumbuk kepada rakannya sebagai amaran agar tidak bermain tipu. Di penjuru kanan pula kelihatan sekumpulan budak-budak jurusan Sains Hayat sedang berbincang tentang anatomi ayam goreng yang telah digoreng empuk oleh makcik-makcik kafe. Nampaknya, salah seorang yang bertindak sebagai ketua dalam kumpulan itu begitu bersungguh-sungguh menyampaikan hujahnya berkenaan anatomi ayam goreng itu. Kawan-kawannya yang lain terbeliak sambil membetulkan kedudukan kacamata masing-masing mendengarkan kata-kata ketua mereka.

Pada waktu itu, gua dan Mat Jep kebetulan sudah bersetuju untuk membeli juadah untuk bersahur nanti. Dalam matrikulasi ni, gua dengan Mat Jep memang dah kamcing sangat. Walhal kat sekolah teknik dulu, kalau berjumpa, setakat angkat-angkat kening je. Mat Jep ni berkawan dengan budak-budak baik, jadi gua tak berapa nak into sangatlah dengan culture dia. Tapi bila masuk matrikulasi ni, entah macam mana boleh jadi ngam pula. Padahal bulu kaki pun dia tak ada.

Selesai urusan memerhati keadaan sekeliling, kami pun menuju ke kaunter makanan. Nampak gayanya, lauk masih banyak belum disentuh oleh senduk-senduk di situ. Sebagai pembeli yang bijak, gua dan Mat Jep mengambil langkah untuk meneliti dan mengkaji setiap lauk yang dipamerkan agar tidak melakukan pembelian yang disesali. Setelah 5 minit memerhati lauk-lauk yang ada, gua dan Mat Jep sudahpun membuat keputusan.

Gua angkat kening kepada Mat Jep, dan dia pun angkat kening juga tanda setuju.

Sebagai pemain ragbi matrikulasi, tak manis rasanya kalau gua ambil dua sudu nasi sahaja. Lagipun, nanti apa kata coach gua kalau dia nampak? Ini boleh menimbulkan cakap-cakap belakang yang mungkin boleh gua tersingkir dari senarai pemain ragbi matrikulasi. Maka, sesuai dengan status pemain ragbi matrik, gua ambil 4 senduk nasi. Mat Jep pun gua tengok ambil banyak itu juga. Mungkin mahu tambah bulu kaki agaknya. Selasai urusan nasi, kami ke hal ehwal lauk pauk pula. Untuk tidak menjejaskan selera, kami mengambil langkah selamat yakni dengan membeli lauk ayam. Ayam memang lauk pembuka selera tidak mengira masa dan tempat. Selepas itu, dengan menggunakan kepakaran mamak nasi kandar, kami mencampur aduk kuah-kuah yang sedia ada di situ. Dengan perkiraan yang tidak lekang dalam otak, gua sudah mendapat campuran kuah yang pasti amazing.

"Hang dah cukup tak?" tanya gua kepada Mat Jep.

"Dah! Hang?" Mat Jep membalas pertanyaan gua.

"Dah! Kalau macam tu, jom bayar. Takkan nak makan nasi haram, kau nak jadi ahli neraka?"

"Taknak! Hahaha!" balas Mat Jep sambil ketawa kegembiraan.

Setelah menyelesaikan urusan pembayaran, gua dan Mat Jep berlalu pulang ke bilik. Sampai saja di bilik, kelihatan semua roomate kami sudah tidur. Hal ini juga menyebabkan kami berasa mengantuk yang amat sangat. Kami letakkan bekalan sahur kami di atas lalu terus menerjah ke tilam masing-masing. Sebelum tidur, sempat juga gua berpesan kepada Mat Jep.

"Jangan lupa kunci jam woi!"

"Ok," balas Mat Jep sayup.

***

Pagi esoknya gua dan Mat Jep bersahur sewaktu azan subuh dialunkan.

"Tak baik membazir, baik kita habiskan je nasi ni," nasihat Mat Jep.

Pagi subuh yang dingin itu gua dan Mat Jep kucar-kacir habiskan bekalan sahur kami sebelum roomate kami terjaga.