Friday, November 27, 2009

Pengalaman Pertama Gua Ponteng Kelas Di Sekolah Berasrama

Hari itu memang rasa lain macam dia punya malas. Bangun pagi malas. Gosok gigi malas. Pakai baju malas. Dan punyalah malas sampai ke tahap rasa nak mengengsot saja. Tapi apakan daya, bila mengenangkan penangan rotan Cikgu Najib dah macam libas banduan dituduh merogol, cepat cepat gua bangun dari pembaringan dan menuju ke bilik air.

Akhirnya gua siap juga berpakaian lengkap. Seluar hijau, baju putih, kad nama... eh, eh... kenapa rasa geli pula tiba tiba ni? Oh, baru gua teringat. Punyalah malas sampai lupa memakai seluar yang paling penting. Gua pun sarungkan seluar penting itu dan keadaan menjadi selesa semula. Tetapi, rasa malas nak ke kelas itu masih tetap mekar di sanubari. Sekali lagi lintasan libasan rotan Cikgu Najib berlalu di dalam kepala gua. Dengan kadar segera gua sarung kasut Pallas gua yang dah koyak sedikit di hadapan. Tapi, itu tak menjadi masalah, gua akan kelihatan lebih retro dan grunge. Dengan gaya yang agak agak retro dan grunge, gua pun melangkah keluar dari asrama dan menuju ke kelas.

Waktu pertama bermula. Gua cuba beri perhatian sepenuhnya terhadap subjek Bahasa Melayu.

"Ok, buka buku Antologi Anak Laut," ujar Cikgu Ramlah lembut.

Huarrgghh! Gua kasi menguap besar punya. Belum buka lagi dah mengantuk. Macam mana nak fokus ni. Serius malas gila nak belajar hari itu. Jadi, waktu pertama berlalu dalam keadaan gua memang tak fokus langsung. Gua lebih memikirkan lauk tengah hari yang akan dihidangkan nanti.

Masuk subjek yang seterusnya iaitu Sejarah. Ini lagi padu, tak sempat nak pegang buku, gua dah tersengguk sengguk. Cikgu Sejarah (maaf, gua dah lupa nama) gua yang melihat tingkah laku gua menyuruh gua agar mencuci muka supaya kelihatan segar dan tidak mengantuk lagi. Sebagai pelajar yang mithali, gua akur dengan arahan tersebut. Sekurang kurangnya, ini boleh memberi peluang kepada gua untuk melihat gadis pujaan gua di kelas sebelah.

Semasa waktu rehat, ketika sedang berkumpul dengan rakan rakan sekelas gua yang terdiri daripada kaum lelaki sahaja, salah seorang daripadanya mencadangkan sesuatu.

"Jom ponteng kelas pedeq (ringkasan untuk perdagangan) nak tak?" Seorang sahabat gua yang bernama Fendi memberi cadangan.

"Aku takdehal. Boleh je. Dahla rasa malas gila hari ni." Seorang lagi kawan gua yang bernama Khairy bersetuju.

"Aku pun join juga la wei." Topong pula bersuara sambil sibuk makan nasi goreng mata kerbau.

Gua pula? Peh, gila apa tak join. Tak rasa jahat la tak join benda benda macam ni. "Aku pun ponteng gak lah," ujar gua bersahaja. Tiga lagi sahabat gua tidak mahu terlibat sama kerana mereka dapat rasa seperti ada benda yang tak kena. Gua pun jadi serba salah mula mula, tapi bila dah kena cucuk dengan Fendi, Khairy dan Topong, gua dah jadi tak keruan. Dia punya keruan rasa macam kena tegur dengan awek cun saja. Disebabkan anasir anasir jahat lebih kuat mendesak gua, gua pun akur dengan rancangan tersebut.

Kringgg! Kringgg! Kringgg!

Loceng menandakan operasi pemontengan akan bermula. Semua budak budak kelas gua dah kucar kacir ambil barang untuk menuju ke bilik sebelah perpustakaan di tingkat 3. Hari tu Miss Yeo nak mengajar kat bilik atas itu. Rajinlah pula Miss Yeo ni nak memanjat tangga. Untuk pengetahuan semua, kelas Miss Yeo ni, kalau masuk kelas dia, feel dia macam masuk lubang kubur. Dia punya aura memang lain macam sangat. Macam aura orang nak mati pun ada. Masa tu, bio aura yang Hai-O punya pun tak wujud lagi. Kalau ada, gua syak lagi hebatlah aura dia.

Bila semua dah siap ambil barang, Fendi, Khairy, Topong dan gua pun berpura pura macam nak ke kelas tingkat 3 tu. Kami buat langkah yang paling perlahan sekali. Kami semua sedia maklum bahawa operasi ini memang berisiko tinggi. Ini kerana, dalam kelas gua tu hanya ada 7 orang lelaki sahaja. Yang lagi 32 adalah kaum perempuan. Tetapi, hati kami memang dah kering sangat masa tu. Risiko tak risiko, operasi ini perlu diteruskan tanpa menoleh ke belakang lagi.

Tanpa disedari oleh budak budak kelas gua yang lain, kami berempat sudahpun berada di dalam kelas kami yang di tingkat 1. Operasi ini sudah semakin berjaya. Yang menjadi persoalannya sekarang, di mana port sebenar pemontengan ini? Adakah duduk di dalam kelas sahaja? Bapak tak best langsung ponteng lepas tu lepak dalam kelas.

Gua kasi tanya sama Fendi satu kali, "Fendi, mana port nak ponteng ni?"

"Kat sini jela weh. Kat mana lagi, takkan nak balik asrama lak. Dahla kunci. Kalau kantoi, sia sia aje," jawab Fendi sambil merapatkan dirinya ke dinding agar kelibatnya tak dapat dilihat oleh orang luar.

Jadi, untuk sepanjang waktu subjek Pedeq a.k.a Perdagangan, gua dan 3 ekor lagi sahabat hanya duduk diam sahaja di bawah meja dan merapatkan diri ke dinding agar orang lain tidak nampak kami. Gua rasa, inilah operasi ponteng yang paling jahanam pernah gua rasai. Tak silap gua yang memang jarang memonteng ni, ia patutnya menjadi sesuatu perkara yang menyeronokkan dan menghiburkan. Tapi operasi ponteng gua ni dah macam haram jadinya. Setakat duduk diam, sandar kat dinding, lepas tu nak kentut pun tak boleh. Ni bukan seronok dah ni, ini terseksa namanya. Baik gua pergi kelas Miss Yeo, lagi bagus. Walaupun aura membunuhnya sangat kuat.

Sejak dari hari itu, gua dah tak ponteng ponteng lagi. Fendi, Khairy dan Topong pun tak ponteng lagi. Serius ponteng macam tu memang tak best!

p/s: Gua dapat 7D untuk subjek Perdagangan semasa SPM dulu. Maafkan gua Miss Yeo sebab buat lu kecewa. Tapi sekarang saya dah jadi cikgu, amacam, ok tak Miss Yeo?

2 comments:

  1. salah port tu bro.. line tak berapa nak clear..haha..

    ReplyDelete
  2. prodigy:
    mujur takde orang lalu langsung time tu bro.kalau kantoi,memang jadi sejarah la.port ponteng paling bangang gua penah duduk.hahaha!

    ReplyDelete