Monday, October 19, 2009

Pengalaman Pertama Gua Duduk Asrama - 1

Berbekalkan keputusan PMR yang tak seberapa, gua cuba memohon untuk memasuki sekolah berasrama. Tidaklah ia ke tahap asrama penuh, tapi apa yang gua sedia maklum, sekolah ini memang penuh dengan permintaan budak-budak yang baru lepas PMR macam gua. Sekolah berasrama yang gua minta ni merupakan sebuah sekolah teknik yang menawarkan 4 jenis kursus, dan sebagai lelaki idaman malaya, gua memilih kursus Perdagangan. Apa yang gua tahu, kursus Perdagangan ini akan sentiasa dipenuhi budak-budak perempuan yang manis-manis mukanya. Jadi, sememangnya gua merasakan ini merupakan kursus yang terbaik buat gua. Dengan tangan yang digenggam erat, gua dengan pantas mengisi borang permohonan ke sekolah teknik sambil sibuk membayangkan pembelajaran gua dikelilingi budak-budak perempuan yang manis-manis mukanya. Oh yeah!

Jika permohonan gua diterima, maka secara rasminya gua akan terlepas daripada kongkongan emak gua secara langsung. Ini kerana, sepanjang gua bersekolah di Kajang, gua terpaksa menerima pelbagai jenis ugutan daripada cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah itu. Sikit-sikit, "Saya beritahu mak kamu Izwan," sikit-sikit, "Saya beritahu mak kamu Izwan." Peh! Mana boleh tahan beb belajar dalam ugutan. Ini sememangnya boleh mengganggu proses pembelajaran seorang pemuda remaja yang kacak yang sedang meningkat dewasa. Diorang tak tahu ke perkara-perkara sebegitu boleh menyerang psikologi gua dengan begitu teruk sekali? Main ugut-ugut saja, mentang-mentang emak gua mengajar di sekolah yang sama, diorang main ugut-ugut macam tu pula.

Atas sebab itulah selama 3 tahun gua bersekolah dengan rambut belah tepi, seluar takleh nak buat kasi nampak grunge sikit, takleh beli nasi lemak luar pagar, dan yang pasti sekali gua tak boleh ponteng. Kalau gua ponteng, memang on the spot cikgu-cikgu akan beritahu emak gua tentang ketidakberadaan gua di dalam kelas. Ada sekali gua terpecahkan cermin tingkap kelas secara tak sengaja semasa bergurau-gurau gusti dengan rakan gua sementara menunggu giliran membaca ayat hafazan, petang tu juga ustazah beritahu emak gua dan hasilnya, telinga gua bernanah kena leteran emak gua. Hish! Nak ugut-ugut aje cikgu-cikgu gua ni.

Syukur alhamdulillah, setelah berbulan-bulan juga menunggu, pihak sekolah teknik menerima permohonan gua. Seronok bukan kepalang gua. Masa tu gua dah terbayang-bayang fesyen rambut apakah yang gua nak bawa nanti, seluar grunge macam mana gua nak gayakan nanti, skil-skil mengorat gua yang mana perlu diperbaiki lagi, huish, macam-macam yang berlegar di dalam kepala otak gua ni tanpa gua sedari gua sudah terlelap dalam keadaan tangan di dalam seluar.

Sedar tak sedar, dah tiba masanya untuk gua meninggalkan rumah dan menuju ke sekolah baru gua. Semangat gua semakin berkobar-kobar. Hati gua semakin rasa tidak sabar nak mengorat gadis-gadis di sana, erk, maksud gua belajar di sana. Tengah syok gua layan semangat gua yang berkobar-kobar tadi, gua dah sampai di sekolah teknik impian gua. Peh, bapak laju bapak gua ni bawa kereta. Mana dia belajar ye? Tapi kalau gua yang bawa laju-laju, bising pula dia. Gua pun dengan penuh semangat dan iltizam, cepat-cepat punggah barang dari dalam kereta. Ekor mata gua sempat juga menangkap imej-imej budak-budak perempuan yang manis-manis mukanya. Gua kasi angkat beg gua dengan gaya yang begitu gagah sekali dan penuh pedoman. Ada juga segelintir dua yang perasan dengan tindak tanduk gua. Hmm...berhasil nampaknya.

Sebelum letak barang, gua kena daftarkan diri di dorm dahulu. Ye, dorm ni macam bilik saja, tapi boleh memuatkan sehingga 20 orang. Maklumat ni bagi sesiapa yang tak pernah duduk asrama. Gua mana boleh main campak saja barang-barang gua ikut suka hati gua, lagipun bapak gua tak ada pun cakap sekolah ni dia yang punya. Jadi, nampak sangat gua tak boleh buat ikut suka hati bapak gua. Dengan wajah yang tenang gua pergi mendaftarkan diri untuk mengetahui dorm mana yang akan gua duduki.

"Ha, kau! Pergi dorm sepuluh." Haram. Kerek betul penyelia ni...

2 comments: