Friday, December 28, 2012

Dilanggar lagi


Ceritanya begini...

Sampai saja di tempat kerja, aku perlu buat suatu keputusan. Keputusan yang akan menentukan kebaikan ataupun keburukan kereta aku. Pada mulanya, ingin saja aku memarkir keretaku di hadapan dewan besar. Tetapi, memandangkan ada program di dalam dewan besar, aku mulai risau. Risau jika keretaku akan dicalarkan oleh peserta program. Ya, aku cuba berburuk sangka di sini. Maka dengan itu, aku memutuskan untuk parkir sahaja keretaku di belakang pejabat sahabatku yang bertindak sebagai seorang kaunselor.

"Pasti keretaku selamat jika parkir di sini," bisik hati kecilku.

Selepas lebih kurang 40 minit kemudian selepas aku memarkir kenderaanku, aku menerima panggilan daripada seorang kawan yang nada suaranya agak cemas.

"Woi, WRN keta hang kan?"

"A'ah, awat?" aku membalas tenang dalam loghat kedah pekat macam orang Kodiang.

"Aku terlanggaq keta hang bro, soriiieee..."

Mungkin inilah akibatnya jika kita berburuk sangka sesama manusia. Aku cuma mampu tersenyum nipis.

Friday, December 21, 2012

Reuniyen

Kelihatan di sebuah sekolah di hujung jalan sana sedang berada dalam keadaan yang riuh rendah sekali. Dari kejauhan, dapat dilihat sehelai kain rentang yang tertulis "MAJLIS REUNIYEN BUDAK-BUDAK SEKOLAH MENENGAH PARIT BATCH 98". Kelihatan juga banyak kenderaan mula memenuhi ruang parkir di hadapan dewan sekolah tersebut.

Di dalam dewan, DJ yang bertugas telah memasang lagu Inilah Nasibku nyanyian kumpulan Nico untuk menaikkan mood remaja para hadirin yang kini sudahpun berumur hampir 30 tahun.

"Aku kalau dengan lagu ni terus rasa nak buat headspin." Ujar Rahmat kepada Mazidol.

"Aku pun sama," balas Mazidol ringkas. Rahmat memandang Mazidol lalu mengangguk. Bukan Rahmat tak nak percaya, tapi Mazidol ni badan dia 110 kilogram. Tak ke patah tengkuk nanti kalau nak buat headspin? Tapi, mengenangkan hati Mazidol mudah retak macam kaca, Rahmat diam dan iyakan saja.

Habis lagu Inilah Nasibku, DJ pasang pula lagu Fiona dendangan kumpulan 4U2C. Salah seorang ahli 4U2C ni sekarang dah jadi kaya sebab jual gelang magnet, lepas tu, boleh dapat pangkat Dato' pula tu.

"Mike tengok teman sekarang. Udah macam orang kaye. Ni pasal teman join bisnes AC Mizal la. Ala, yang kumpulan dia yang nyanyi lagu Fiona ni." Kata Zulkifli sambil memperagakan pakaiannya yang berjenama. Rajoo, Muthu dan Elavarasen yang mendengar, masing-masing buat muka menyampah gara-gara perangai Zulkifli yang sering berlagak itu. Dari sekolah lagi, sampai sekarang, tak pernah nak berubah.

"Udah la tu yob. Naik geli teman dengor berlagak mike tu," balas Muthu.

"Huh, cemburu la tu," cebik Zulkifli.

Di satu sudut dewan pula, berdiri beberapa orang lelaki yang masing-masing tengah ketawa terbahak-bahak. Macam haram. Bila orang ni cakap, semua gelak. Lepas tu, orang lain pula cakap, semua gelak juga. Habis seorang demi seorang bercakap, mereka tetap ketawa terbahak-bahak juga.

"Cerita pasal dia, sampai esok tak boleh habis weh. Hahaha!" Zack ketawa terbahak-bahak.

"Tu la pasal. Banyak sangat benda kita buat kat dia. Dah tu, semua kelakar-kelakar pulak. Hahaha!" Remi pula ketawa terbahak-bahak.

"Time dia nangis paling kelakar. Hahaha..hakhakhaktuih!" Zameri ketawa sampai keluar kahak.

"Babi!" Remi dan Zack balas serentak.

Semua hadirin terus berseronok sampai pukul 11 malam. Sebab lepas tu warden datang rush, katanya tutup lampu, dah sampai waktu tidur. Semua hadirin rasa kecewa dan balik ke dorm masing-masing. Padahal mereka lupa pula yang mereka bukan bersekolah lagi. Bangang.

Thursday, December 20, 2012

Topi Sihir

"Jamal, pulangkan topi tu Jamal. Pulangkan!" Laung Jemeli sambil cuba mengimbangi badannya di atas keretapi yang sedang bergerak laju.

"Ah, aku takkan pulangkan! Dengan adanya topi ini, aku mampu melakukan apa sahaja. Wang, wanita, binatang peliharaan dan apa-apa sahaja yang aku inginkan boleh aku dapat dengan adanya topi ini. Hahaha!" Jemeli membalas dengan ketawa kejahatan dan turut cuba mengimbangi badannya di atas keretapi.

Keretapi yang sedang bergerak pantas ini dalam perjalanan ke Hogwarts, di mana terletaknya Akademi Sihir Sedunia, tempat budak-budak istimewa yang pandai ilmu sihir. Jamal dan Jemeli adalah pasangan adik beradik kembar. Tapi, malangnya, Jamal memiliki sifat kejahatan yang mampu memusnahkan dunia. Berlainan pula dengan adiknya, Jemeli, seorang bakal ahli sihir yang baik dan sering membantu orang tua melintas jalan. Dia juga sanggup memberikan tempat duduknya kepada perempuan mengandung ketika berada di dalam LRT.

"Jamal, topi itu harus digunakan ke arah kebaikan, bukan untuk melakukan kerja-kerja kotor kau!"

"Ah, persetan semua itu! Aku peduli apa! Yang penting, aku boleh buat apa sahaja. Hahaha!"

"Jamal, kau jangan cuba menguji kesabaran aku Jamal. Cepat pulangkan!"

"Kalau aku taknak bagi, apa kau nak buat hah? Hahaha!"

"Huh, kau yang memaksa aku Jamal, kau yang memaksa! Rasakan ini!"

Jemeli mengeluarkan tongkat saktinya dan berkata "Ulamprosa!" Satu pancaran laser keluar dari muncung tongkat sakti Jemeli lalu menuju ke arah Jamal.

"Aduh! Sial kau Jemeli! Nah rasakan ini pula. Ulamraja!!!" Jamal pula menggunakan tongkat saktinya untuk membuat serangan balas. Tembakan laser Jamal tepat mengenai tongkat Jemeli. Tongkat Jemeli terjatuh ke dalam gaung bilamana keretapi sedang melintasi jambatan di atas gaung itu.

"Hahaha! Sekarang kuasa kau dah tiada, apa lagi kau boleh buat Jemeli?! Hahaha!" ketawa jahat Jamal semakin beria-ria. Namun tiba-tiba Jemeli menjerit.

"Jamal, tunduk! Tunduk!"

"Apa?"

Bappp!

Keretapi memasuki terowong. Jamal yang terlalu angkuh berdiri menjadi alpa sehingga tidak sempat tunduk. Akhirnya, dia mati akibat berlaga dengan dinding terowong. Topi yang dipegangnya tadi kini berada di tangan Jemeli. Akhirnya, kuasa kebaikan sekali lagi berjaya menewaskan kuasa kejahatan.

Entah apa-apa punya cerita. Tapi lantaklah, janji aku dapat buat posting hari ni.

Wednesday, December 19, 2012

Seulas reviu : Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia

Gambar ni aku yang tangkap, aku yang edit.

Ini buku yang terbaru aku beli. Dulu, masa buku ni dijual secara murah dalam internet, gua ambik endah tak endah je. Publisher pun dah siap warning, kalau buku ni habis dijual dalam internet, ia tidak akan dapat harga macam dalam internet bila masuk kedai-kedai buku utama seperti MPH ataupun Kinokuniya. Masih gua tak ambik port bila gua baca warning tu. Tapi, bila buku ni masuk je dalam kedai buku, bila aku belek-belek buku ni, aku rasa sangat menyesal tak sudah. Buku ni memang sedap dohhh! Rugi giler aku tak beli semasa dijual dalam internet. Masa ni, aku dapat bayangkan publisher buat muka berlagak kat aku sebab kena beli kat kedai buku pada harga yang sedikit tinggi. Oleh kerana taknak rasa menyesal lagi, aku pun beli jelah.

Jadi, apa hasil aku dapat bila baca buku ni? Sama macam tajuk dia,'Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia', itulah hasil yang aku dapat bilamana aku dapat tau kenapa Malaysia tak dapat main di pusingan akhir Piala Dunia. Buku ni menceritakan rentetan kegagalan skuad Harimau Malaya dalam perlawanan-perlawanan kelayakan untuk ke Piala Dunia. Semua cerita yang disampaikan adalah dalam bentuk fakta. Malah fakta yang diperolehi oleh penulis, Lucius Maximus, tidak pernah pun aku dengar sebelum ni. Bila baca buku ni baru aku tau. Penulis juga berjaya menghasilkan cerita dalam bentuk tersusun dan tidak ada unsur-unsur berterabur langsung, lantas, pembaca dapat membaca dengan baik dan boleh memahami setiap perkara yang ingin disampaikan. Manakan tidak, mesej yang nak diberitahu adalah sangat jelas, iaitu, Malaysia tidak dapat pergi ke Piala Dunia.

Aku juga suka baca bahagian Pasca-kata yang telah ditulis dengan jayanya oleh blogger terkenal iaitu Pipiyapong Abdillah Hamzah. Sama seperti aku meminati entri-entri dalam blognya,seperti itu juga aku menyukai hasil tulisannya dalam buku ini. Daya imaginasi yang tinggi semasa menulis pasca-katanya membuat kan aku suka membacanya berulang kali. Bagaimana dia mengolah penceritaan tentang sebuah pasukan bola sepak bernama Torpedo Lipis sehingga salah seorang pemain dalam pasukan Torpedo Lipis ini iaitu Baharom Bahari berjaya membawa skuad Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Dunia cukup-cukup memukau diriku. Selain itu, aku juga mampu tergelak kecil bila membaca nama-nama pasukan yang direka oleh Pipiyapong sempena mengambil nama kelab-kelab Eropah. Contohnya seperti, Barcelumut (Barcelona), Lokomotif Kangar (Lokomotif Moscow), Melaka Town (ni aku taktau kelab mana), Borussia Tawau (Borussia Dortmund) dan Galataraub (Galatasaray). Nampak gaya, Lucius Maximus memang tak salah dalam memilih Pipiyapong sebagai penulis pasca-kata bukunya.

Di bahagian akhir buku ini juga, penulis turut menyelitkan cadangannya untuk membantu meningkatkan lagi martabat bola sepak Malaysia. Sebagai rakyat marhain, Lucius Maximus mungkin rasa bertanggungjawab terhadap bola sepak negaranya dan sudi membantu untuk meningkatkannya. Tapi apakan daya, Lucius hanyalah rakyat biasa yang tiada apa-apa. Dia bukan Dato' mahupun Tan Sri, apatah lagi memegang jawatan utama dalam urusan politik. Aku cukup mengagumi cara penulis mengusulkan cadangannya yang pada hemat aku adalah sangat-sangat bernas. Tapi taktau lah pada orang lain. Kalau nak rasa macam aku, silakanlah, kalau taknak, kau cuba bagi idea kau pula, tengok, boleh buat aku kagum tak.

Akhir kata, terima kasih kepada saudara Lucius Maximus kerana menghasilkan buku ini. Buku yang menyedarkan semua rakyat Malaysia bahawa bola sepak Malaysia takkan ke mana-mana jika ia diuruskan dengan cara marang merapu kepunden marang sekeper. Tahniah bro!

Review ini dihasilkan oleh aku yang pandai main bola tapi stamina macam gampang.

Monday, December 17, 2012

Tidak lagi bertahan

Khamis lepas, Malaysia sudah kecundang. Tewas di tangan Thailand. Pada pendapat aku, game pada hari itu, pemain-pemain Malaysia bermain dengan begitu teruk. Aku juga berasa sangat hairan, mengapa Rajagobal tetap bersungguh-sunggu mahu bermain taktik satu penyerang sedangkan pasukan kebangsaan ketinggalan di belakang. Mat Yo habis kena kepit kiri kanan. Tapi Rajagobal tetap tenang dan yakin dengan keputusannya. Akibatnya, Harimau Malaya rebah di bawah tapak kaki Gajah Putih. Kini, Malaysia bukanlah lagi juara bertahan AFF Suzuki Cup.

Sekarang, aku tunggu Piala Asia 2015 pula.

Monday, December 10, 2012

Kerana Stamina

Malam tadi game Malaysia lawan Thailand untuk separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF. Keputusannya seri, 1-1. Bagi aku agak mengecewakan. Rasa bangga aku hanya wujud semasa separuh masa yang pertama. Harimau Malaya bermain dengan tempo yang laju. Thailand juga begitu, tidak ketinggalan temponya. Masuk separuh masa kedua, Malaysia bermula garang. Hasilnya, Nor Shahrul Idlan Talaha ataupun lebih popular sebagai Mat Yo akhirnya berjaya menjaringkan gol yang diidam-idamkannya. Namun begitu, garang Harimau Malaya tak lama. Lepas Mat Yo skor, skuad Gajah Putih yang banyak menguasai permainan dengan rentak yang laju. Pemain Malaysia waktu ni banyak dah pancit. Pancit sesangat ok! Nampaknya stamina masih lagi menjadi kelemahan utama skuad Malaysia. Hasilnya, penyerang sensasi Thailand, Teerasil Dangda berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Gua harap, untuk game separuh akhir kedua di Thailand nanti, para pemain Malaysia bersedia dengan stamina yang lebih mantap. Jika kau nak laju, stamina kau harus padu!

Friday, December 7, 2012

Solat Jumaat Wajib Bagi Lelaki

Hari ni aku pergi Solat Jumaat. Aku pergi Solat Jumaat bukanlah untuk bermain bola, tetapi untuk solat. Aku juga pergi bukan untuk sembang-sembang tapi aku nak solat je.

Tetapi, kenapa ada jugak budak-budak yang perangai tak tentu hala boleh sembang-sembang waktu orang ramai termasuk aku sedang bersolat? Aku harap budak-budak yang bersembang waktu aku tengah solat tadi pintu hati kau akan dibuka oleh Allah untuk berubah.

Thursday, November 29, 2012

Malaysia menang semalam

Pasukan bola sepak Malaysia sudah menang semalam. Mungkin ramai akan beranggapan Harimau Malaya sudah kembali menemui rentaknya.

Masa Safiq Rahim score, gua seronok.

Sekali, boleh lak Safiq buat perangai passing kat dada pemain Laos. Dalam hati aku berkata, "Hmm.. gol la ni!"

Memang gol. Dah 1 sama. 

Masuk 2nd half. Malaysia mula main laju macam orang sawan. Hasilnya, 3 gol berjaya dijaringkan. 1 gol daripada Khyril Muhymeen tu bola dia memang meleleh gila, tapi tetap boleh gol, dah takdir Allah nak bagi Malaysia menang kan?

Pukul 10.45 malam aku tutup TV dan berdoa agar Sabtu ni Harimau Malaya boleh makan Garuda.

Pasukan bola sepak Malaysia sudah menang semalam. Mungkin ramai akan beranggapan Harimau Malaya sudah kembali menemui rentaknya.


Yang kiri sekali ni dah macam Gareth Bale je aku tengok.

Wednesday, November 28, 2012

Aku Bangang

"Aku bangang betullah!" cakap Chopra.

"Hah?! Kau mengaku kau bangang?" kami bertanya hampir serentak.

"Eh, eh, silap lak. Aku sebenarnya nak cakap 'aku bengang betullah'."

Kemudian kami pun gelak kuat-kuat ramai-ramai tanpa mempedulikan pelanggan-pelanggan restoran yang lain.

Monday, May 14, 2012

Terakhir

Kali terakhir gua buat posting kat sini ialah pada bulan Disember tahun lepas.

Gila!

Tuesday, December 13, 2011

Episod 13 : Dada Berombak

Episod 1 : Ramli yang sepi
Episod 2 : Layla Oh Layla

***

"Hallow! Wow, it's gorgeous, it's gorgeous!"

Ujar Steve Irwin di dalam televisyen yang sedang sibuk mengacarakan rancangan Crocodile Dundee. Ia merupakan rancangan yang berkisahkan seorang manusia yang mencintai alam fauna dan sanggup menempuh pelbagai bahaya demi cintanya pada fauna.

Kala itu, Steve Irwin baru lepas teruja jumpa seekor ular tedung selar bersaiz 5 meter panjang dan memiliki kulit yang menawan.

"Omaigod, it's really gorgeous, amaiii-zing!" sekali lagi Steve Irwin bersuara loghat Australia belah pedalaman.

Di sebabkan Steve Irwin jugalah Latifah berminat untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang zoologi di Australia. Walaupun di Malaysia ada sahaja universiti yang menawarkan bidang zoologi, tetapi Latifah mahu lebih dekat dengan idolanya itu agar jiwanya akan mencintai alam fauna sama seperti Steve Irwin mencintai fauna-fauna di dunia ini.

* * *

Makin puja, makin cinta menusuk kalbumu
Dalam naik turun nafas menjunjung namamu
Makin asyik, makin jauh dihanyutkan rindu
Tiap saat ketika kudambakan wajahmu

Makin puja, makin cinta menusuk kalbumu
Dalam naik turun nafas menjunjung namamu
Makin asyik, makin jauh dihanyutkan rindu
Tiap saat ketika kudambakan kasihmu

Janganlah kau seksa diriku yang lemah
Sedangkan kau sedar semua ini
Bukanlah satu permintaanku

Di saat-saat Ramli kecewa, renungan gadis comel itu kembali melekatkan hatinya yang bercerai-berai itu. Pada saat itu, Ramli merasakan dunianya masih belum gelap. Dia tahu masih ada harapan untuk dia hidup bahagia di dunia Illahi ini. Ramli cuba memerhatikan gadis comel itu sebaik-baiknya. Dia mahu tahu siapakah gerangan gadis tersebut. Tangannya digenggam erat-erat sebagai tanda ingin tahu yang sangat kuat.

"Klik...klik...klik!"

Bunyi itu mengganggu lamunan Ramli. Di depannya kelihatan Izwan begitu taksub mengambil gambar genggaman tangannya.

"Smart bro, genggaman kau macam ada feel!" ujar Izwan seraya menunjukkan gambar genggaman tangan Ramli.

Powww!

"Banyak kau punya feel! Rasa sebijik!" kata Ramli bernada bengang.

Izwan terbaring sambil berbuih mulut.

* * *

Kompang dipalu pengantin baru
Duduk bersanding tersipu malu
Kompang dipalu pengantin malu
Moga bahagia ke anak cucu

Kami doakan moga bahagia
Selamat sejahtera hingga akhir zaman

Orang ramai semakin banyak mengunjungi majlis kenduri perkahwinan Hadi dan Layla. Keaadaan dalam khemah makan semakin sesak. Tempat duduk dan meja makan juga kelihatan tidak mencukupi. Kehadiran tetamu cukup luar biasa bilangannya. Haji Rizal sebagai orang lama di kawasan ini merasakan dia perlu melakukan sesuatu agar majlis dapat berjalan dengan lancar dan tidak menaikkan darah orang yang akhirnya akan menimbulkan cakap-cakap belakang yang kurang enak didengari.

Haji Rizal berjalan menuju ke arah meja DJ dan meminta mikrofon daripada DJ bertugas. DJ bertugas memandang serong tentang tindakan Haji Rizal yang kelihatan seperti ingin menyanyikan lagu 'Singkong dan Keju'.

"Usah kamu risau, aku bukan nak menyanyi,"

Ujar Haji Rizal sambil DJ bertugas tersipu-sipu malu mengenangkan sikapnya yang suka memandang negatif terhadap orang lain. Lalu dia memberikan mikrofon kepada Haji Rizal.

"Assalamualaikum. Ini Haji Rizal bercakap. Saya ingin memohon kerjasama daripada para tetamu agar tidaklah terlalu lama melepak di meja makan selepas menjamu selera kerana ada tetamu yang lain lagi mahu menjamu selera. Takkan kita nak tengok diorang makan berdiri pula kan? Tak manis rasanya kan? Jadi, kepada sesiapa yang dah makan, bolehlah rasanya bangun dan berikan tempat duduk kepada tetamu yang baru nak makan. Lagipun kita kan 1 Malaysia,"

Jelas Haji Rizal terang dan lancar. Tetamu yang mendengar pengumuman itu lantas bangun dan memberikan tempat kepada mereka-mereka yang lebih memerlukan. Haji Rizal yang melihat kelakuan para tetamu itu tersenyum bangga kerana mereka bersikap faham bahasa dan makan saman.

Ramli yang ketika itu sedang membantu orang kampung menguruskan kenduri kahwin Layla dan Hadi berhenti sekejap mendengar pengumuman Haji Rizal.

"Cheh, bajet bagus orang tua ni..." getus hati kecil Ramli.

Ramli memang tak berapa gemar menengok perangai Haji Rizal yang kadang-kadang bajet star itu. Kalau tak memikirkan faktor usia, memang dah lama orang tua itu kena hembus. Disebabkan rasa meluat yang terlalu meninggi, Ramli meneruskan tugasnya sebagai tukang angkat pinggan dan cek air basuh tangan kenduri kahwin Layla dan Hadi.

Sedang dia sibuk memeriksa isipadu air basuh tangan kenduri, tiba-tiba hati Ramli jadi berdebar-berdebar. Setahu Ramli, dalam dunia ini, ada dua sebab sahaja yang boleh buat dia berdebar-debar. Satu, ketika berhadapan dengan Layla, wanita yang pernah dia cintai. Namun kini, Layla sudah menjadi milik orang, jadi tak berapa manis rasanya dia nak berdebar tentang perkara itu. Sebab kedua ialah ketika dia ingin membuang air besar tetapi ada orang lain di dalam jamban. Jadi hal itu sememangnya mendebarkan jika dia tercirit di luar jamban.

Jika tadi Ramli berdebar-debar, kini dadanya pula semakin berombak-ombak. Ramli merasakan seolah-olah Tony Jaa, pelakon filem Ong Bak sedang menyiku dan melutut dadanya. Ramli tau, perasaan ini adalah perasaan yang mampu merubah hidupnya. Ramli semakin tidak senang duduk.

Tit...tit...tit...

"Abang Ramli..."

Ramli pusing ke belakang, sambil peluh dingin mula membasahi dahinya. Ramli kaget.

"Abanggg..."

Akan bersambung di blog Sultan Shahrulnizam.

Wednesday, November 16, 2011

Cerpen Berantai : Cinta harus memiliki

Episod 1 : Guru Besar Rizal Gunx
Episod 2 : Zalila a.k.a Layla (buwekk)
Episod 3 : Hafis AF
Episod 4 : Rudeen Budeen
Episod 5 : Hadi Berhadi-hadi

* * *

"Pang! O-ook-ook-jeng! O-ook-ook jeng! Pang!"

Berdering kuat bunyi telefon Ramli. Ringtone lagu Siam.

"Ek eleh, siapa pula yang call aku waktu-waktu genting macam ni? Eh, Haji Rizal, apa orang tua ni nak?" bisik hati kecil Ramli. Sementara itu, Izwan yang dari tadi menunggu jawapan Ramli sudah naik jelak dan terus ke dapur mencari biskut Meri.

"Assalamualaikum Haji. Wassap call saya ni? Ada hal penting ke?"

"Waalaikumsalam. Ni aku nak kabor ni, aku kena tipu ni!" kata Haji Rizal, tegas.

"Tipu apa pula Haji?" balas Ramli dengan penuh perasaan ingin tahu.

"Ni ha, TV2 ni tipu aku. Kata ada cerita Rambo II, tapi yang keluar cerita Si Capik season 2."

Izwan yang kebetulan baru datang dari dapur mencari biskut Meri, diterajang tepat di perut oleh Ramli akibat rasa bengangnya terhadap Haji Rizal.

Sementara itu dihujung talian kedengaran suara Haji Rizal menjerit, "Hello-hello-hello! Puiii!"


KOMA


"Assalamualaikum, ooo assalamualaikum!" Hafis memberi salam tatkala dia berada di depan rumah Rudeen.

Pintu rumah terkuak dan kelihatan seorang mak cik yang sebaya umur Sharifah Aini menjenguk ke luar rumah seraya berkata.

"Minta maaf dik, rumah ni tak ada orang nama Assalamualaikum."

Hafis tergamam. Matanya memandang tepat mak cik itu. Mak cik itu pun sama, memandang tepat ke matanya.

Rudeen yang pada masa itu baru selesai menjahit patung beruangnya yang koyak dipinggang akibat tersangkut di engsel pintu datang menghampiri emaknya yang sedang berdiri di hadapan pintu.

"Kenapa mak, siapa yang datang?" sapa Rudeen.

"Ni ha, ada budak nak cari Assalamualaikum," balas emaknya.

Rudeen melihat ke luar dan kelihatan Hafis sedang berdiri tegak sambil matanya masih merenung tepat emak Rudeen.

"Eh, Hafis, kenapa awak tercegat di depan tu? Marilah masuk. Minta maaflah, mak saya ni memang suka bergurau," terang Rudeen. Sambil itu emak Rudeen masuk ke dalam rumah menahan ketawa.

Hafis tersenyum kelat. Runsing juga jadinya bila dibawa bergurau macam tu. Mujur dia tak mengamalkan lifestyle Amerika, kalau tak, habis lirik-lirik Eminem dinyanyinya. Rudeen juga turut keluar dari rumah dan duduk di kerusi yang ada di laman rumahnya.

"Duduklah Hafis," jemput Rudeen.

"Sebenarnya, saya ada benda nak beritahu awak ni," ujar Hafis.

"Apa dia Hafis?"

Hafis sedar, yang ada di depannya bukan orang-orang biasa baginya. Ini orang yang cukup istimewa baginya. Orang di hadapannya boleh diibaratkan seperti jika Hafis ialah Shah Jehan manakala Rudeen ialah Mumtaz Mahal. Jadi, menjadi gugup dan gemuruh di hadapan gadis ini sudah menjadi satu kewajipan.

"Hafis!" jerkah Rudeen.

"Saya cintakan awak!" jerit Hafis yang terkejut dari lamunannya.

* * *

Bersambung ke blog Shahrulnizam Mohamed Yusof Yang Pawer!

Tuesday, October 25, 2011

Keindahan kampung nan permai! (Promosi Microsoft Paint)

Jadi, lu orang nilai-nilai sendirilah ini gambar.
Sebab tu orang cakap, "Picture worth a thousand words".

Monday, October 10, 2011

Budak Baru

Masa tu gua darjah 6, 6 Setia. Kelas nombor 2 pandai. Nombor 1 pandai kelas 6 Jujur, diikuti kelas gua, kemudian 6 Ikhlas dan akhir sekali 6 Amanah. Waktu sekolah rendah dulu, cukup risau gua kalau dapat kelas Amanah tu, walhal menjadi orang yang Amanah ni satu perkara yang baik. Namun begitu, dari segi akademik, lu akan nampak bodoh masuk kelas Amanah tu.

Orait, berbalik kepada kelas gua, 6 Setia. Bilangan pelajar lelaki dan perempuan agak seimbang. Ada juga budak kelas gua yang seorang dua yang cun-cun comel. Yang lain masuk kategori 'bolehlah'. Gua seperti biasa, kategori 'budak lelaki nakal kacak yang belah tengah dan pandai'. Dulu nak belah tengah punya pasal, sanggup simpan duit nak beli gel. Mana taknya, nak pastikan rambut gua tersisir rapi sampai tamat waktu sekolah la katakan.

Waktu ni juga gua dah expert urusan-urusan nak mencarut. Tak lengkap nakalnya kalau tak reti mencarut, macam tak khatan. Jadi, sempat jugalah gua belajar sebarang dua perkataan yang kurang elok. Waktu ni, F word tak berapa nak popular. P word lebih menjadi kegilaan remaja kala itu. Jadi kalau nak buat perangai gengster sikit, bila jumpa kawan, kita kasilah P word sikit. Yang perhati pun naik gerun dan tak berani nak ganggu kita.

Ada sekali, kelas gua dapat budak baru. Budak ni dengar cerita duduk Amerika sana 3 tahun. Kulit pun putih melepak. Gua perhati, ramai juga gadis-gadis kelas gua yang seakan-akan tertarik dengan budak tu. Bukan setakat budak-budak perempuan kategori 'bolehlah', malah yang cun-cun comel pun nampak gaya macam minat dengan dia. Oh ya, nama budak tu Salem. Macam nama rokok!

Bukan setakat perempuan, kawan-kawan gua yang lelaki pun macam berminat dengan dia. Ada waktu lapang saja, pasti mereka cuba merapati Salem. Asal lapang saja, rapat dengan Salem. Mujur masa tu kes liwat Anwar tak mula lagi, kalau tak mesti Salem dah kena liwat. Sebab Salem ni kategori jambu la juga.

Gua naik hairan kenapa ramai yang suka rapat dengan Salem ni. Menurut informer gua, Salem ni pandai speaking. Sebab tu ramai yang cuba nak rapat supaya UPSR nanti boleh dapat A dalam English Language. Konon nak dapat bantuan Salem la ni. Gua setakat nak tolong kacau-kacau awek bolehlah. Hal-hal akademik ni gua kurang sikit. Jadi bila ramai yang bertumpu kepada Salem ni, gua rasa macam taring gua dah makin tumpul, makin tak garang. Bila jadi macam ni, gua jadi makin resah bilamana gua dah tak ada sahabat nak bermain bersama. Scene kacau awek pun boleh jadi terganggu sebab mana true kacau awek sorang-sorang brader!

Nak dijadikan cerita, masa tu kelas English Language. Cikgu berbangsa India yang handle. Gua perhati, cikgu tu nampak teruja bila dia dapat tau kelas dia ada budak baru dari Amerika. Memang seronok la dia sebab ada budak yang boleh dia ajak bersembang dalam bahasa inggeris. Nak harap gua dan budak-budak kelas gua memang tak jalan la. Ada sekali gua kena tarik sideburn sebab speaking grammar berterabur. Tapi dia tak hargai langsung keberanian gua berbahasa inggeris, tu yang buat gua banyak senyap dalam kelas bahasa inggeris tu.

Tiba-tiba teacher panggil Salem.

"Salem, can you come forward," ujar teacher sambil senyum berbunga-bunga.

Salem pun datang depan. Muka tahan bangga.

"So Salem, can you share with us the way the Americans learn their english?"

Salem pandang seisi kelas.

5 saat, diam.

10 saat, diam.

15 saat, diam.

"Saya cakap melayu boleh tak teacher? Inglish saya tak berapa nak betullah."

Teacher buat-buat baca buku ilmu hisab.

Salem, Salem... kau memang Melayu sejati!

Sejak hari itu gua dan Salem berkawan rapat dan sering bermain catur bersama bila tiba waktu rehat. Salem memang star main catur. Ini gua kena respek!

Monday, October 3, 2011

Jatuh

"Aarrgghh!"

"Woi, woi! Bangun, bangun! Apahal kau memekik pagi-pagi ni? Tu la, tidur tak baca ayat kursi, bismillah, selawat, kan dah ngigau," bebel Azizul apabila melihat kelakuan kawan serumahnya yang mengigau itu.

"Hush! Sori la bro. Aku bukan saja-saja nak jerit. Mimpi aku ni seram bebenor!" ujar Ruzaini sambil mengelap peluh dingin yang membasahi dahinya.

"Amende yang seram bebenor mimpi kau tu Ruzaini?" tanya Azizul.

"Masuk kali ni, dah tiga kali aku mimpi jatuh dari tempat yang tinggi. Elok je tiba masa kepala aku nak cecah tanah, kau pun kejutkan aku. Nasib kau kejutkan Azizul, kalau tak mesti dah pecah kepala aku!" terang Ruzaini panjang lebar.

Azizul yang mendengar cerita mimpi Ruzaini itu turut berasa sedikit seram. Ini kerana, pada malam tadi dia ada terbaca di dalam halaqah.net tentang mimpi jatuh dari tempat tinggi ini. Menurut laman web itu, jika mimpi jatuh dari tempat tinggi, maksudnya seseorang itu ada tanda terkena sihir.

"Tiga kali dah mimpi sama? Aku rasa kau ni dah terkena sihir la Ruzaini," kata Azizul seraya mengunyah buah epal untuk mengurangkan sedikit keseramannya.

"Eh, kau jangan macam-macam Azizul. Seingat aku, aku tak pernah buat jahat kat sape-sape tau. Jadi, takkan la orang nak sihir aku!" balas Ruzaini. Sambil itu dia juga cuba mengingat sama ada dia pernah melakukan kejahatan kepada orang lain ataupun tidak. Rasa-rasanya, perkara paling jahat yang pernah dia buat ialah menarik tudung Noor Zarina, anak pak bilal yang sekelas dengannya. Tapi itu pun 15 tahun yang lalu sewaktu dia sekolah rendah. Selepas itu Ruzaini lebih banyak bertindak sebagai lelaki yang gentleman dan baik.

"Itu menurut yang aku bacalah Ruzaini. Entah betul ke tidak, aku pun tak tau," kata Azizul.

"Eh, kau tak pergi kerja ke pagi ni, dah 7.30 ni?" sambung Azizul lagi.

"Hah? 7.30? Cilake, lambat lagi aku pagi ni!" balas Ruzaini garang. Masuk hari ni dah tiga kali Ruzaini lewat. Kata bosnya, jika dia lambat lagi, dia akan dibuang kerja. Apa lagi, kelam kabutlah Ruzaini bersiap. Untuk menjimatkan masa, Ruzaini hanya membasahkan rambut dan memakai gel sebanyak mungkin agar nampak seperti orang sudah mandi.

"Dah la duduk tingkat 15, lif boleh lak rosak pagi-pagi ni. Tak tau ke orang nak cepat!" bebel Ruzaini sendirian. Dalam waktu dia mahu pantas ke pejabat, lif kediamannya boleh pula tidak memberi kerjasama yang baik. Dengan langkah yang longlai, Ruzaini terpaksalah menuruni tangga untuk ke pejabat.

Elok saja kakinya mahu mencecah anak tangga di tingkat 15 itu, langkah Ruzaini tiba-tiba terhenti. Matanya tertancap ke satu arah. Tidak berkelip langsung matanya. Mulutnya pula tiba-tiba ternganga luas seakan-akan terpegun. Kelihatan seorang gadis cantik jelita sedang menuju ke arahnya. Sambil berjalan, gadis itu melibas-libaskan rambutnya seperti iklan syampu. Ruzaini semakin tergoda melihat kelakuan gadis itu.

"Aku rasa inilah puncanya aku dapat mimpi jatuh dari tempat tinggi. Rupa-rupanya aku sudah mahu jatuh cinta!" bisik hati kecil Ruzaini seraya tersenyum manis.

Entah dari mana datang, tiba-tiba berlari dua orang kanak-kanak yang sedang bermain kejar-kejar di koridor tempat Ruzaini berdiri. Ruzaini yang terkejut dengan situasi itu, berasa amat terkejut. Dirinya yang ketika itu berdiri dengan sebelah kaki sahaja kerana satu lagi sedang tergantung di udara hilang keseimbangan. Dengan tidak semena-mena, Ruzaini terjatuh, tergolek di atas tangga dari tingkat 15 hingga ke bawah. Ruzaini cedera parah dan terus menghembuskan nafasnya yang terakhir di ground floor.

Esoknya, di dalam surat khabar METRO.

"Lelaki maut jatuh berguling dari tingkat 15!"

Monday, September 26, 2011

Hujan

Kringgg!

Masa untuk gua belajar hal-hal agama dah tamat. Belajar di sekolah agama membolehkan gua lebih memahami ilmu-ilmu feqah, tajwid, tauhid dan bahasa arab. Lantaran itu, ia mampu mendidik gua menjadi insan yang berguna kepada agama dan bangsa.

Agama, agama juga, tapi bila hujan, seriau juga nak balik. Hari tu hujan bukan main lebat lagi. Entah macam mana boleh lebat pun gua tak tau. Padahal, nampak macam cerah sebelum tu, ni tiba-tiba pula hujan lebat. Sebagai murid darjah 5, balik rumah naik basikal seorang diri dalam keadaan hujan adalah sesuatu perkara yang sangat tak kool walaupun bermandi hujan itu sejuk.

Namun begitu, mak gua awal-awal lagi dah buat persiapan untuk gua menghadapi hari hujan ni. Maka dengan pantas gua bawa keluar baju hujan gua yang berwarna kuning pekat itu dan sarungkan ke atas badan gua. Nampak gaya, gua dah bersedia nak meredah hujan.

Jarak sekolah agama gua ke rumah gua ada la dalam 7 kilometer juga jauhnya. Kira mencabar jugalah nak mengayuh jauh-jauh lebih-lebih lagi dalam keadaan hujan. Tapi apa boleh buat, gua kena redah juga, kalau tak ketinggalan la gua nak layan drama Spektra: Budak Bijak yang selalu ditayangkan jam 7 malam tu.

Dengan lafaz bismillah gua mulakan perjalanan. Guruh pula dah mula berdentam-dentum. Hish, tak tolak ansur langsung dengan gua yang balik kayuh basikal secara bersendirian ni. Bila hujan ni, jalan pun jadi licin. Jadi pengayuhan gua lebih menitikberatkan pembrekkan. Takut kalau terlambat brek, nescaya nahas menimpa.

Dipendekkan cerita, gua dah hampir nak sampai rumah. Sebelum tu gua perlu seberang satu jalan yang terakhir untuk sampai ke rumah gua yang berjarak 500 meter sahaja lagi. Hujan kala itu semakin lebat, songkok gua habis berat akibat penyerapan air yang berlebihan. Mata pun dah kabur-kabur pasal hujan lebat merejam mata gua. Namun begitu, peraturan lalu lintas tetap tersemat dalam akal.

Gua pandang kanan, kemudian kiri dan kemudian kanan kembali. Bila dah yakin tiada kereta, gua mula mengayuh. Tapi, entah macam mana bila elok saja kaki gua nak pijak pengayuh, ada sebuah kereta tiba-tiba meluru laju ke arah gua. Waktu tu gua rasa ragu-ragu nak lintas ke tidak. Gua pun ambil keputusan tak melintas. Namun begitu, kereta itu tetap nak menuju ke arah gua walaupun gua dah ambil keputusan tak nak melintas. Dalam hati dah berkata, "Ah sudah!"

Bammm!

Gua terbaring bersama-sama basikal gua. Kereta tu pula tiada cacat cela. Kereta tu tergamam sekejap, kemudian terus memecut pergi tanpa menghiraukan keadaan gua. Gua masa tu dah rasa macam superman, badan gua tak sakit-sakit langsung. Luka tiada, darah tiada, bengkak-bengkak pun tiada. Semua masih setedi macam biasa. Basikal gua pun, perghh! Hebat, tak ada bengkang-bengkok langsung! Padahal kuat juga gua kena langgar tadi.

Selepas memastikan segalanya selamat, gua pun meneruskan perjalanan pulang gua sambil mendendangkan lagu 'Hujan' nyanyian Allahyarham Sudirman.

Tuesday, September 13, 2011

Radio burok

Waktu itu gua baru darjah 5, kalau tak silap. Mak bapak gua pun masa tu tak ada dalam rumah, pasal dah keluar pergi mana entah, beli barang dapur agaknya. Adik beradik gua yang lain ada la, tapi sibuk buat urusan masing-masing. Jadi, kesempatan yang ada ni, gua ajak kawan-kawan gua menziarahi rumah gua. Kawan-kawan gua yang kebetulan memang tengah kehausan akibat mengayuh basikal terlalu laju tidak teragak-agak untuk menerima pelawaan gua.

Dua orang kawan gua iaitu Mad dan Kamarul ini merupakan pasangan adik-beradik. Berkawan dengan mereka ini sangat menarik. Mereka berdua ni jenis having fun punya orang walaupun benda tu kadang-kadang tak berapa nak fun pun. Sambil-sambil lepak minum air dalam rumah gua tu, Kamarul pun bertanya.

"Weh Wan, ko ada radio tak?"

"Ada la, kenapa, ko nak buat apa?"

"Ko bawak datang sini, ada benda aku nak tunjuk."

Disebabkan gua nampak muka Kamarul macam excited sangat, gua pun tergesa-gesa mengambil radio gua. Mujur waktu tu, abang gua yang rajin dengar radio tu tak dengar radio, dia tengah sibuk baca majalah Gila-Gila yang tengah hit waktu itu.

"Ko nampak kaset ni? Jom dengar apa isinya," kata Kamarul sambil tersenyum kerang-kerang busuk.

Gua pun dah beria-ria sangat waktu tu. Mad yang duduk sebelah gua pun dah menggigil-gigil tahan gelak. Gua dah boleh jangka ini adalah satu benda sangat best untuk dinikmati bersama.

"So, are you ready guys?" tanya Kamarul dalam bahasa inggeris. Bersahaja sungguh gayanya.

Gua dan Mad pun mengangguk tanda ready.

Kamarul menekan button play.

Power!

***

Sepanjang tengah hari itu, gua, Kamarul dan Mad masing-masing bergilir-gilir merekod bunyi kentut kami. Kadang-kadang bunyi kentut gua yang kuat, kadang-kadang bunyi kentut Kamarul pula yang kuat dan kadang-kadang juga bunyi kentut Mad yang kuat. Kami bertiga berasa sungguh nikmat pada hari itu. Lebih-lebih lagi bila bunyi kentut kami dimainkan semula, seronok yang amat!

Tuesday, August 16, 2011

Puisi : Sekilas Ramadhan

Ramadhan.
Tanpaku sedar kau datang.
Mujur pak cik tv ada sound.
Terawih juga aku malam pertama itu.

Ramadhan.
Bila kau datang, bazar pun datang.
Orang ramai berpusu-pusu.
Tangan kanan penuh, tangan kiri pun penuh.
Mujur tak ada yang jatuh menelentang.

Ramadhan.
Bila kau menjelma, teringat juga memori lama.
Membuatkan ku tersengih-sengih.
Orang azan untuk tunaikan solat subuh.
Tapi aku bangun untuk sahur.

Ramadhan.
Nama kawanku.
Kenal semasa sekolah.
Tapi tak pernah orang panggil dia Ramadhan.
Kalau nampak, cuma panggil 'Pak Rem' saja.

Ramadhan.
Kini, kau hampir pergi.
Apalah daya untukku menghalang.
Namun, ia buat ku terfikir.
Ponteng puasa yang dulu entah dah ganti ke belum.
Peh!

Ramadhan...

Wednesday, August 10, 2011

Nostalgia Ramadhan 1.1

Gua tengah cuba ingat apa lagi nostalgia Ramadhan gua yang steady-steady.