Monday, July 11, 2011

Usahawan = Perit!

Pagi tadi, entah semangat apa yang dah meracuni diri gua, tiba-tiba gua jadi produktif pula. Gua jadi teruja sangat nak mengajar hari ini. Disebabkan teruja yang melampau gua boleh melayari internet untuk mencari maklumat-maklumat terkini berkaitan bidang keusahawanan, bidang yang gua ajar. Pada hari ini juga, gua sedar bahawasanya gua mengajar pelajar-pelajar gua tidaklah mengikut peredaran masa sangat. Malah, gua juga perasan yang gua mengajar terlalu mengikut buku dan mengabaikan segala maklumat berkaitan isu-isu semasa. Hal-hal macam ni la yang sebenarnya boleh buat kita tidak diberkati sebab buat kerja sambil lewa.

Gua pun taiplah macam-macam benda berkaitan keusahawanan. Entah macam mana terkeluar pula satu laporan dalam bentuk PDF yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia berkaitan dengan keusahawanan. Laporan itu melaporkan tentang statistik rakyat Malaysia yang terlibat dalam bidang keusahawanan ini. Benda pertama gua semak ialah berapa muka surat yang ada dalam laporan ini. Bukanlah gua malas nak baca laporan panjang-panjang, tapi gua ni kejar masa, jadi benda panjang-panjang ni boleh menjurus kepada membazir masa. Amalan iblis tu woi!

Antara perkara yang menarik perhatian gua ialah berkaitan statistik yang menunjukkan trend keusahawanan telah menurun dari 25.1% pada tahun 1982 ke 20.9 pada tahun 2008. Wow! Sangat terkejut bila gua tengok data macam tu. Gua ingatkan selama ni statistik rakyat Malaysia yang menyertai bidang keusahawanan adalah semakin meningkat, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Betul-betul tak sangka boleh jadi macam ni walaupun negara semakin maju. Adakah ini boleh membawa maksud semakin maju negara semakin malas orang ramai nak ceburi bidang perniagaan? Adakah ramai orang semakin selesa kerja makan gaji? Adakah mereka takut berniaga kerana risau dapur tidak akan berasap? Yelah, bidang keusahawanan ni bukan benda ayam-ayam weh. Kalau tersilap percaturan, nahas jawabnya. Macam main catur, salah letak King, ha ambik, terberak kena check-mate!

Dalam laporan ini juga ada menyatakan bahawa usahawan yang ada kini kebanyakannya tidak mendapat pendidikan rasmi berkaitan keusahawanan ini. Yang ni gua tak berapa nak terkejut sangatlah. Sebab gua pun ada kenal ramai orang yang masuk bidang keusahawanan ni tanpa ilmu yang penuh didada. Walaupun dada-dada mereka tak penuh ilmu, tapi semangat dan ketabahan mereka memang cukup tinggi. Tinggi sehingga mencakar langit dan rasanya lebih tinggi dari langit agaknya cakaran langit tu. Sebab tu orang-orang tanpa ilmu keusahawanan yang cukup ni boleh pergi jauh dalam bidang ni.

Turut dinyatakan bahawa lingkungan umur yang menceburi bidang keusahawanan ini adalah dalam umur antara 35 hingga 64 tahun. Hal ini terjadi kerana, pada usia muda mereka menghabiskan masa untuk mencari pengalaman dan mengumpul modal agar mereka boleh membuka perniagaan mereka sendiri. Contohnya macam Abu ni dia memang nak buka bengkel kereta, tapi pengetahuan tak berapa cukup. Lalu Abu pun bekerja di bengkel kereta Ah Chong. Ah Chong pun dengan hati terbuka terima Abu. Abu dengan setedinya bekerja dengan Ah Chong sambil mempelajari selok belok perniagaan bengkel kereta Ah Chong. Apabila cukup ilmu dan pengalaman, Abu pun berhenti. Abu cakap kat Ah Chong dia nak buka bisnes kat kampung pasal nak dekat dengan mak abah. Lagipun mak abah Abu tak berapa nak sihat. Jadi kalau Abu dekat, boleh la Abu jenguk-jenguk mak abahnya. Ah Chong pun kata ok. Ha macam tu la lebih kurang ceritanya.

Haish, rasanya ok kot gua tulis-tulis sampai sini. Cerita panjang-panjang pun nanti ada yang tidur lak. Ok, ok, jom kita minum dulu ok!

No comments:

Post a Comment