Friday, December 28, 2012

Dilanggar lagi


Ceritanya begini...

Sampai saja di tempat kerja, aku perlu buat suatu keputusan. Keputusan yang akan menentukan kebaikan ataupun keburukan kereta aku. Pada mulanya, ingin saja aku memarkir keretaku di hadapan dewan besar. Tetapi, memandangkan ada program di dalam dewan besar, aku mulai risau. Risau jika keretaku akan dicalarkan oleh peserta program. Ya, aku cuba berburuk sangka di sini. Maka dengan itu, aku memutuskan untuk parkir sahaja keretaku di belakang pejabat sahabatku yang bertindak sebagai seorang kaunselor.

"Pasti keretaku selamat jika parkir di sini," bisik hati kecilku.

Selepas lebih kurang 40 minit kemudian selepas aku memarkir kenderaanku, aku menerima panggilan daripada seorang kawan yang nada suaranya agak cemas.

"Woi, WRN keta hang kan?"

"A'ah, awat?" aku membalas tenang dalam loghat kedah pekat macam orang Kodiang.

"Aku terlanggaq keta hang bro, soriiieee..."

Mungkin inilah akibatnya jika kita berburuk sangka sesama manusia. Aku cuma mampu tersenyum nipis.

Friday, December 21, 2012

Reuniyen

Kelihatan di sebuah sekolah di hujung jalan sana sedang berada dalam keadaan yang riuh rendah sekali. Dari kejauhan, dapat dilihat sehelai kain rentang yang tertulis "MAJLIS REUNIYEN BUDAK-BUDAK SEKOLAH MENENGAH PARIT BATCH 98". Kelihatan juga banyak kenderaan mula memenuhi ruang parkir di hadapan dewan sekolah tersebut.

Di dalam dewan, DJ yang bertugas telah memasang lagu Inilah Nasibku nyanyian kumpulan Nico untuk menaikkan mood remaja para hadirin yang kini sudahpun berumur hampir 30 tahun.

"Aku kalau dengan lagu ni terus rasa nak buat headspin." Ujar Rahmat kepada Mazidol.

"Aku pun sama," balas Mazidol ringkas. Rahmat memandang Mazidol lalu mengangguk. Bukan Rahmat tak nak percaya, tapi Mazidol ni badan dia 110 kilogram. Tak ke patah tengkuk nanti kalau nak buat headspin? Tapi, mengenangkan hati Mazidol mudah retak macam kaca, Rahmat diam dan iyakan saja.

Habis lagu Inilah Nasibku, DJ pasang pula lagu Fiona dendangan kumpulan 4U2C. Salah seorang ahli 4U2C ni sekarang dah jadi kaya sebab jual gelang magnet, lepas tu, boleh dapat pangkat Dato' pula tu.

"Mike tengok teman sekarang. Udah macam orang kaye. Ni pasal teman join bisnes AC Mizal la. Ala, yang kumpulan dia yang nyanyi lagu Fiona ni." Kata Zulkifli sambil memperagakan pakaiannya yang berjenama. Rajoo, Muthu dan Elavarasen yang mendengar, masing-masing buat muka menyampah gara-gara perangai Zulkifli yang sering berlagak itu. Dari sekolah lagi, sampai sekarang, tak pernah nak berubah.

"Udah la tu yob. Naik geli teman dengor berlagak mike tu," balas Muthu.

"Huh, cemburu la tu," cebik Zulkifli.

Di satu sudut dewan pula, berdiri beberapa orang lelaki yang masing-masing tengah ketawa terbahak-bahak. Macam haram. Bila orang ni cakap, semua gelak. Lepas tu, orang lain pula cakap, semua gelak juga. Habis seorang demi seorang bercakap, mereka tetap ketawa terbahak-bahak juga.

"Cerita pasal dia, sampai esok tak boleh habis weh. Hahaha!" Zack ketawa terbahak-bahak.

"Tu la pasal. Banyak sangat benda kita buat kat dia. Dah tu, semua kelakar-kelakar pulak. Hahaha!" Remi pula ketawa terbahak-bahak.

"Time dia nangis paling kelakar. Hahaha..hakhakhaktuih!" Zameri ketawa sampai keluar kahak.

"Babi!" Remi dan Zack balas serentak.

Semua hadirin terus berseronok sampai pukul 11 malam. Sebab lepas tu warden datang rush, katanya tutup lampu, dah sampai waktu tidur. Semua hadirin rasa kecewa dan balik ke dorm masing-masing. Padahal mereka lupa pula yang mereka bukan bersekolah lagi. Bangang.

Thursday, December 20, 2012

Topi Sihir

"Jamal, pulangkan topi tu Jamal. Pulangkan!" Laung Jemeli sambil cuba mengimbangi badannya di atas keretapi yang sedang bergerak laju.

"Ah, aku takkan pulangkan! Dengan adanya topi ini, aku mampu melakukan apa sahaja. Wang, wanita, binatang peliharaan dan apa-apa sahaja yang aku inginkan boleh aku dapat dengan adanya topi ini. Hahaha!" Jemeli membalas dengan ketawa kejahatan dan turut cuba mengimbangi badannya di atas keretapi.

Keretapi yang sedang bergerak pantas ini dalam perjalanan ke Hogwarts, di mana terletaknya Akademi Sihir Sedunia, tempat budak-budak istimewa yang pandai ilmu sihir. Jamal dan Jemeli adalah pasangan adik beradik kembar. Tapi, malangnya, Jamal memiliki sifat kejahatan yang mampu memusnahkan dunia. Berlainan pula dengan adiknya, Jemeli, seorang bakal ahli sihir yang baik dan sering membantu orang tua melintas jalan. Dia juga sanggup memberikan tempat duduknya kepada perempuan mengandung ketika berada di dalam LRT.

"Jamal, topi itu harus digunakan ke arah kebaikan, bukan untuk melakukan kerja-kerja kotor kau!"

"Ah, persetan semua itu! Aku peduli apa! Yang penting, aku boleh buat apa sahaja. Hahaha!"

"Jamal, kau jangan cuba menguji kesabaran aku Jamal. Cepat pulangkan!"

"Kalau aku taknak bagi, apa kau nak buat hah? Hahaha!"

"Huh, kau yang memaksa aku Jamal, kau yang memaksa! Rasakan ini!"

Jemeli mengeluarkan tongkat saktinya dan berkata "Ulamprosa!" Satu pancaran laser keluar dari muncung tongkat sakti Jemeli lalu menuju ke arah Jamal.

"Aduh! Sial kau Jemeli! Nah rasakan ini pula. Ulamraja!!!" Jamal pula menggunakan tongkat saktinya untuk membuat serangan balas. Tembakan laser Jamal tepat mengenai tongkat Jemeli. Tongkat Jemeli terjatuh ke dalam gaung bilamana keretapi sedang melintasi jambatan di atas gaung itu.

"Hahaha! Sekarang kuasa kau dah tiada, apa lagi kau boleh buat Jemeli?! Hahaha!" ketawa jahat Jamal semakin beria-ria. Namun tiba-tiba Jemeli menjerit.

"Jamal, tunduk! Tunduk!"

"Apa?"

Bappp!

Keretapi memasuki terowong. Jamal yang terlalu angkuh berdiri menjadi alpa sehingga tidak sempat tunduk. Akhirnya, dia mati akibat berlaga dengan dinding terowong. Topi yang dipegangnya tadi kini berada di tangan Jemeli. Akhirnya, kuasa kebaikan sekali lagi berjaya menewaskan kuasa kejahatan.

Entah apa-apa punya cerita. Tapi lantaklah, janji aku dapat buat posting hari ni.

Wednesday, December 19, 2012

Seulas reviu : Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia

Gambar ni aku yang tangkap, aku yang edit.

Ini buku yang terbaru aku beli. Dulu, masa buku ni dijual secara murah dalam internet, gua ambik endah tak endah je. Publisher pun dah siap warning, kalau buku ni habis dijual dalam internet, ia tidak akan dapat harga macam dalam internet bila masuk kedai-kedai buku utama seperti MPH ataupun Kinokuniya. Masih gua tak ambik port bila gua baca warning tu. Tapi, bila buku ni masuk je dalam kedai buku, bila aku belek-belek buku ni, aku rasa sangat menyesal tak sudah. Buku ni memang sedap dohhh! Rugi giler aku tak beli semasa dijual dalam internet. Masa ni, aku dapat bayangkan publisher buat muka berlagak kat aku sebab kena beli kat kedai buku pada harga yang sedikit tinggi. Oleh kerana taknak rasa menyesal lagi, aku pun beli jelah.

Jadi, apa hasil aku dapat bila baca buku ni? Sama macam tajuk dia,'Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia', itulah hasil yang aku dapat bilamana aku dapat tau kenapa Malaysia tak dapat main di pusingan akhir Piala Dunia. Buku ni menceritakan rentetan kegagalan skuad Harimau Malaya dalam perlawanan-perlawanan kelayakan untuk ke Piala Dunia. Semua cerita yang disampaikan adalah dalam bentuk fakta. Malah fakta yang diperolehi oleh penulis, Lucius Maximus, tidak pernah pun aku dengar sebelum ni. Bila baca buku ni baru aku tau. Penulis juga berjaya menghasilkan cerita dalam bentuk tersusun dan tidak ada unsur-unsur berterabur langsung, lantas, pembaca dapat membaca dengan baik dan boleh memahami setiap perkara yang ingin disampaikan. Manakan tidak, mesej yang nak diberitahu adalah sangat jelas, iaitu, Malaysia tidak dapat pergi ke Piala Dunia.

Aku juga suka baca bahagian Pasca-kata yang telah ditulis dengan jayanya oleh blogger terkenal iaitu Pipiyapong Abdillah Hamzah. Sama seperti aku meminati entri-entri dalam blognya,seperti itu juga aku menyukai hasil tulisannya dalam buku ini. Daya imaginasi yang tinggi semasa menulis pasca-katanya membuat kan aku suka membacanya berulang kali. Bagaimana dia mengolah penceritaan tentang sebuah pasukan bola sepak bernama Torpedo Lipis sehingga salah seorang pemain dalam pasukan Torpedo Lipis ini iaitu Baharom Bahari berjaya membawa skuad Harimau Malaya ke pusingan akhir Piala Dunia cukup-cukup memukau diriku. Selain itu, aku juga mampu tergelak kecil bila membaca nama-nama pasukan yang direka oleh Pipiyapong sempena mengambil nama kelab-kelab Eropah. Contohnya seperti, Barcelumut (Barcelona), Lokomotif Kangar (Lokomotif Moscow), Melaka Town (ni aku taktau kelab mana), Borussia Tawau (Borussia Dortmund) dan Galataraub (Galatasaray). Nampak gaya, Lucius Maximus memang tak salah dalam memilih Pipiyapong sebagai penulis pasca-kata bukunya.

Di bahagian akhir buku ini juga, penulis turut menyelitkan cadangannya untuk membantu meningkatkan lagi martabat bola sepak Malaysia. Sebagai rakyat marhain, Lucius Maximus mungkin rasa bertanggungjawab terhadap bola sepak negaranya dan sudi membantu untuk meningkatkannya. Tapi apakan daya, Lucius hanyalah rakyat biasa yang tiada apa-apa. Dia bukan Dato' mahupun Tan Sri, apatah lagi memegang jawatan utama dalam urusan politik. Aku cukup mengagumi cara penulis mengusulkan cadangannya yang pada hemat aku adalah sangat-sangat bernas. Tapi taktau lah pada orang lain. Kalau nak rasa macam aku, silakanlah, kalau taknak, kau cuba bagi idea kau pula, tengok, boleh buat aku kagum tak.

Akhir kata, terima kasih kepada saudara Lucius Maximus kerana menghasilkan buku ini. Buku yang menyedarkan semua rakyat Malaysia bahawa bola sepak Malaysia takkan ke mana-mana jika ia diuruskan dengan cara marang merapu kepunden marang sekeper. Tahniah bro!

Review ini dihasilkan oleh aku yang pandai main bola tapi stamina macam gampang.

Monday, December 17, 2012

Tidak lagi bertahan

Khamis lepas, Malaysia sudah kecundang. Tewas di tangan Thailand. Pada pendapat aku, game pada hari itu, pemain-pemain Malaysia bermain dengan begitu teruk. Aku juga berasa sangat hairan, mengapa Rajagobal tetap bersungguh-sunggu mahu bermain taktik satu penyerang sedangkan pasukan kebangsaan ketinggalan di belakang. Mat Yo habis kena kepit kiri kanan. Tapi Rajagobal tetap tenang dan yakin dengan keputusannya. Akibatnya, Harimau Malaya rebah di bawah tapak kaki Gajah Putih. Kini, Malaysia bukanlah lagi juara bertahan AFF Suzuki Cup.

Sekarang, aku tunggu Piala Asia 2015 pula.

Monday, December 10, 2012

Kerana Stamina

Malam tadi game Malaysia lawan Thailand untuk separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF. Keputusannya seri, 1-1. Bagi aku agak mengecewakan. Rasa bangga aku hanya wujud semasa separuh masa yang pertama. Harimau Malaya bermain dengan tempo yang laju. Thailand juga begitu, tidak ketinggalan temponya. Masuk separuh masa kedua, Malaysia bermula garang. Hasilnya, Nor Shahrul Idlan Talaha ataupun lebih popular sebagai Mat Yo akhirnya berjaya menjaringkan gol yang diidam-idamkannya. Namun begitu, garang Harimau Malaya tak lama. Lepas Mat Yo skor, skuad Gajah Putih yang banyak menguasai permainan dengan rentak yang laju. Pemain Malaysia waktu ni banyak dah pancit. Pancit sesangat ok! Nampaknya stamina masih lagi menjadi kelemahan utama skuad Malaysia. Hasilnya, penyerang sensasi Thailand, Teerasil Dangda berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Gua harap, untuk game separuh akhir kedua di Thailand nanti, para pemain Malaysia bersedia dengan stamina yang lebih mantap. Jika kau nak laju, stamina kau harus padu!

Friday, December 7, 2012

Solat Jumaat Wajib Bagi Lelaki

Hari ni aku pergi Solat Jumaat. Aku pergi Solat Jumaat bukanlah untuk bermain bola, tetapi untuk solat. Aku juga pergi bukan untuk sembang-sembang tapi aku nak solat je.

Tetapi, kenapa ada jugak budak-budak yang perangai tak tentu hala boleh sembang-sembang waktu orang ramai termasuk aku sedang bersolat? Aku harap budak-budak yang bersembang waktu aku tengah solat tadi pintu hati kau akan dibuka oleh Allah untuk berubah.