Wednesday, November 16, 2011

Cerpen Berantai : Cinta harus memiliki

Episod 1 : Guru Besar Rizal Gunx
Episod 2 : Zalila a.k.a Layla (buwekk)
Episod 3 : Hafis AF
Episod 4 : Rudeen Budeen
Episod 5 : Hadi Berhadi-hadi

* * *

"Pang! O-ook-ook-jeng! O-ook-ook jeng! Pang!"

Berdering kuat bunyi telefon Ramli. Ringtone lagu Siam.

"Ek eleh, siapa pula yang call aku waktu-waktu genting macam ni? Eh, Haji Rizal, apa orang tua ni nak?" bisik hati kecil Ramli. Sementara itu, Izwan yang dari tadi menunggu jawapan Ramli sudah naik jelak dan terus ke dapur mencari biskut Meri.

"Assalamualaikum Haji. Wassap call saya ni? Ada hal penting ke?"

"Waalaikumsalam. Ni aku nak kabor ni, aku kena tipu ni!" kata Haji Rizal, tegas.

"Tipu apa pula Haji?" balas Ramli dengan penuh perasaan ingin tahu.

"Ni ha, TV2 ni tipu aku. Kata ada cerita Rambo II, tapi yang keluar cerita Si Capik season 2."

Izwan yang kebetulan baru datang dari dapur mencari biskut Meri, diterajang tepat di perut oleh Ramli akibat rasa bengangnya terhadap Haji Rizal.

Sementara itu dihujung talian kedengaran suara Haji Rizal menjerit, "Hello-hello-hello! Puiii!"


KOMA


"Assalamualaikum, ooo assalamualaikum!" Hafis memberi salam tatkala dia berada di depan rumah Rudeen.

Pintu rumah terkuak dan kelihatan seorang mak cik yang sebaya umur Sharifah Aini menjenguk ke luar rumah seraya berkata.

"Minta maaf dik, rumah ni tak ada orang nama Assalamualaikum."

Hafis tergamam. Matanya memandang tepat mak cik itu. Mak cik itu pun sama, memandang tepat ke matanya.

Rudeen yang pada masa itu baru selesai menjahit patung beruangnya yang koyak dipinggang akibat tersangkut di engsel pintu datang menghampiri emaknya yang sedang berdiri di hadapan pintu.

"Kenapa mak, siapa yang datang?" sapa Rudeen.

"Ni ha, ada budak nak cari Assalamualaikum," balas emaknya.

Rudeen melihat ke luar dan kelihatan Hafis sedang berdiri tegak sambil matanya masih merenung tepat emak Rudeen.

"Eh, Hafis, kenapa awak tercegat di depan tu? Marilah masuk. Minta maaflah, mak saya ni memang suka bergurau," terang Rudeen. Sambil itu emak Rudeen masuk ke dalam rumah menahan ketawa.

Hafis tersenyum kelat. Runsing juga jadinya bila dibawa bergurau macam tu. Mujur dia tak mengamalkan lifestyle Amerika, kalau tak, habis lirik-lirik Eminem dinyanyinya. Rudeen juga turut keluar dari rumah dan duduk di kerusi yang ada di laman rumahnya.

"Duduklah Hafis," jemput Rudeen.

"Sebenarnya, saya ada benda nak beritahu awak ni," ujar Hafis.

"Apa dia Hafis?"

Hafis sedar, yang ada di depannya bukan orang-orang biasa baginya. Ini orang yang cukup istimewa baginya. Orang di hadapannya boleh diibaratkan seperti jika Hafis ialah Shah Jehan manakala Rudeen ialah Mumtaz Mahal. Jadi, menjadi gugup dan gemuruh di hadapan gadis ini sudah menjadi satu kewajipan.

"Hafis!" jerkah Rudeen.

"Saya cintakan awak!" jerit Hafis yang terkejut dari lamunannya.

* * *

Bersambung ke blog Shahrulnizam Mohamed Yusof Yang Pawer!

Tuesday, October 25, 2011

Keindahan kampung nan permai! (Promosi Microsoft Paint)

Jadi, lu orang nilai-nilai sendirilah ini gambar.
Sebab tu orang cakap, "Picture worth a thousand words".

Monday, October 10, 2011

Budak Baru

Masa tu gua darjah 6, 6 Setia. Kelas nombor 2 pandai. Nombor 1 pandai kelas 6 Jujur, diikuti kelas gua, kemudian 6 Ikhlas dan akhir sekali 6 Amanah. Waktu sekolah rendah dulu, cukup risau gua kalau dapat kelas Amanah tu, walhal menjadi orang yang Amanah ni satu perkara yang baik. Namun begitu, dari segi akademik, lu akan nampak bodoh masuk kelas Amanah tu.

Orait, berbalik kepada kelas gua, 6 Setia. Bilangan pelajar lelaki dan perempuan agak seimbang. Ada juga budak kelas gua yang seorang dua yang cun-cun comel. Yang lain masuk kategori 'bolehlah'. Gua seperti biasa, kategori 'budak lelaki nakal kacak yang belah tengah dan pandai'. Dulu nak belah tengah punya pasal, sanggup simpan duit nak beli gel. Mana taknya, nak pastikan rambut gua tersisir rapi sampai tamat waktu sekolah la katakan.

Waktu ni juga gua dah expert urusan-urusan nak mencarut. Tak lengkap nakalnya kalau tak reti mencarut, macam tak khatan. Jadi, sempat jugalah gua belajar sebarang dua perkataan yang kurang elok. Waktu ni, F word tak berapa nak popular. P word lebih menjadi kegilaan remaja kala itu. Jadi kalau nak buat perangai gengster sikit, bila jumpa kawan, kita kasilah P word sikit. Yang perhati pun naik gerun dan tak berani nak ganggu kita.

Ada sekali, kelas gua dapat budak baru. Budak ni dengar cerita duduk Amerika sana 3 tahun. Kulit pun putih melepak. Gua perhati, ramai juga gadis-gadis kelas gua yang seakan-akan tertarik dengan budak tu. Bukan setakat budak-budak perempuan kategori 'bolehlah', malah yang cun-cun comel pun nampak gaya macam minat dengan dia. Oh ya, nama budak tu Salem. Macam nama rokok!

Bukan setakat perempuan, kawan-kawan gua yang lelaki pun macam berminat dengan dia. Ada waktu lapang saja, pasti mereka cuba merapati Salem. Asal lapang saja, rapat dengan Salem. Mujur masa tu kes liwat Anwar tak mula lagi, kalau tak mesti Salem dah kena liwat. Sebab Salem ni kategori jambu la juga.

Gua naik hairan kenapa ramai yang suka rapat dengan Salem ni. Menurut informer gua, Salem ni pandai speaking. Sebab tu ramai yang cuba nak rapat supaya UPSR nanti boleh dapat A dalam English Language. Konon nak dapat bantuan Salem la ni. Gua setakat nak tolong kacau-kacau awek bolehlah. Hal-hal akademik ni gua kurang sikit. Jadi bila ramai yang bertumpu kepada Salem ni, gua rasa macam taring gua dah makin tumpul, makin tak garang. Bila jadi macam ni, gua jadi makin resah bilamana gua dah tak ada sahabat nak bermain bersama. Scene kacau awek pun boleh jadi terganggu sebab mana true kacau awek sorang-sorang brader!

Nak dijadikan cerita, masa tu kelas English Language. Cikgu berbangsa India yang handle. Gua perhati, cikgu tu nampak teruja bila dia dapat tau kelas dia ada budak baru dari Amerika. Memang seronok la dia sebab ada budak yang boleh dia ajak bersembang dalam bahasa inggeris. Nak harap gua dan budak-budak kelas gua memang tak jalan la. Ada sekali gua kena tarik sideburn sebab speaking grammar berterabur. Tapi dia tak hargai langsung keberanian gua berbahasa inggeris, tu yang buat gua banyak senyap dalam kelas bahasa inggeris tu.

Tiba-tiba teacher panggil Salem.

"Salem, can you come forward," ujar teacher sambil senyum berbunga-bunga.

Salem pun datang depan. Muka tahan bangga.

"So Salem, can you share with us the way the Americans learn their english?"

Salem pandang seisi kelas.

5 saat, diam.

10 saat, diam.

15 saat, diam.

"Saya cakap melayu boleh tak teacher? Inglish saya tak berapa nak betullah."

Teacher buat-buat baca buku ilmu hisab.

Salem, Salem... kau memang Melayu sejati!

Sejak hari itu gua dan Salem berkawan rapat dan sering bermain catur bersama bila tiba waktu rehat. Salem memang star main catur. Ini gua kena respek!

Monday, October 3, 2011

Jatuh

"Aarrgghh!"

"Woi, woi! Bangun, bangun! Apahal kau memekik pagi-pagi ni? Tu la, tidur tak baca ayat kursi, bismillah, selawat, kan dah ngigau," bebel Azizul apabila melihat kelakuan kawan serumahnya yang mengigau itu.

"Hush! Sori la bro. Aku bukan saja-saja nak jerit. Mimpi aku ni seram bebenor!" ujar Ruzaini sambil mengelap peluh dingin yang membasahi dahinya.

"Amende yang seram bebenor mimpi kau tu Ruzaini?" tanya Azizul.

"Masuk kali ni, dah tiga kali aku mimpi jatuh dari tempat yang tinggi. Elok je tiba masa kepala aku nak cecah tanah, kau pun kejutkan aku. Nasib kau kejutkan Azizul, kalau tak mesti dah pecah kepala aku!" terang Ruzaini panjang lebar.

Azizul yang mendengar cerita mimpi Ruzaini itu turut berasa sedikit seram. Ini kerana, pada malam tadi dia ada terbaca di dalam halaqah.net tentang mimpi jatuh dari tempat tinggi ini. Menurut laman web itu, jika mimpi jatuh dari tempat tinggi, maksudnya seseorang itu ada tanda terkena sihir.

"Tiga kali dah mimpi sama? Aku rasa kau ni dah terkena sihir la Ruzaini," kata Azizul seraya mengunyah buah epal untuk mengurangkan sedikit keseramannya.

"Eh, kau jangan macam-macam Azizul. Seingat aku, aku tak pernah buat jahat kat sape-sape tau. Jadi, takkan la orang nak sihir aku!" balas Ruzaini. Sambil itu dia juga cuba mengingat sama ada dia pernah melakukan kejahatan kepada orang lain ataupun tidak. Rasa-rasanya, perkara paling jahat yang pernah dia buat ialah menarik tudung Noor Zarina, anak pak bilal yang sekelas dengannya. Tapi itu pun 15 tahun yang lalu sewaktu dia sekolah rendah. Selepas itu Ruzaini lebih banyak bertindak sebagai lelaki yang gentleman dan baik.

"Itu menurut yang aku bacalah Ruzaini. Entah betul ke tidak, aku pun tak tau," kata Azizul.

"Eh, kau tak pergi kerja ke pagi ni, dah 7.30 ni?" sambung Azizul lagi.

"Hah? 7.30? Cilake, lambat lagi aku pagi ni!" balas Ruzaini garang. Masuk hari ni dah tiga kali Ruzaini lewat. Kata bosnya, jika dia lambat lagi, dia akan dibuang kerja. Apa lagi, kelam kabutlah Ruzaini bersiap. Untuk menjimatkan masa, Ruzaini hanya membasahkan rambut dan memakai gel sebanyak mungkin agar nampak seperti orang sudah mandi.

"Dah la duduk tingkat 15, lif boleh lak rosak pagi-pagi ni. Tak tau ke orang nak cepat!" bebel Ruzaini sendirian. Dalam waktu dia mahu pantas ke pejabat, lif kediamannya boleh pula tidak memberi kerjasama yang baik. Dengan langkah yang longlai, Ruzaini terpaksalah menuruni tangga untuk ke pejabat.

Elok saja kakinya mahu mencecah anak tangga di tingkat 15 itu, langkah Ruzaini tiba-tiba terhenti. Matanya tertancap ke satu arah. Tidak berkelip langsung matanya. Mulutnya pula tiba-tiba ternganga luas seakan-akan terpegun. Kelihatan seorang gadis cantik jelita sedang menuju ke arahnya. Sambil berjalan, gadis itu melibas-libaskan rambutnya seperti iklan syampu. Ruzaini semakin tergoda melihat kelakuan gadis itu.

"Aku rasa inilah puncanya aku dapat mimpi jatuh dari tempat tinggi. Rupa-rupanya aku sudah mahu jatuh cinta!" bisik hati kecil Ruzaini seraya tersenyum manis.

Entah dari mana datang, tiba-tiba berlari dua orang kanak-kanak yang sedang bermain kejar-kejar di koridor tempat Ruzaini berdiri. Ruzaini yang terkejut dengan situasi itu, berasa amat terkejut. Dirinya yang ketika itu berdiri dengan sebelah kaki sahaja kerana satu lagi sedang tergantung di udara hilang keseimbangan. Dengan tidak semena-mena, Ruzaini terjatuh, tergolek di atas tangga dari tingkat 15 hingga ke bawah. Ruzaini cedera parah dan terus menghembuskan nafasnya yang terakhir di ground floor.

Esoknya, di dalam surat khabar METRO.

"Lelaki maut jatuh berguling dari tingkat 15!"

Monday, September 26, 2011

Hujan

Kringgg!

Masa untuk gua belajar hal-hal agama dah tamat. Belajar di sekolah agama membolehkan gua lebih memahami ilmu-ilmu feqah, tajwid, tauhid dan bahasa arab. Lantaran itu, ia mampu mendidik gua menjadi insan yang berguna kepada agama dan bangsa.

Agama, agama juga, tapi bila hujan, seriau juga nak balik. Hari tu hujan bukan main lebat lagi. Entah macam mana boleh lebat pun gua tak tau. Padahal, nampak macam cerah sebelum tu, ni tiba-tiba pula hujan lebat. Sebagai murid darjah 5, balik rumah naik basikal seorang diri dalam keadaan hujan adalah sesuatu perkara yang sangat tak kool walaupun bermandi hujan itu sejuk.

Namun begitu, mak gua awal-awal lagi dah buat persiapan untuk gua menghadapi hari hujan ni. Maka dengan pantas gua bawa keluar baju hujan gua yang berwarna kuning pekat itu dan sarungkan ke atas badan gua. Nampak gaya, gua dah bersedia nak meredah hujan.

Jarak sekolah agama gua ke rumah gua ada la dalam 7 kilometer juga jauhnya. Kira mencabar jugalah nak mengayuh jauh-jauh lebih-lebih lagi dalam keadaan hujan. Tapi apa boleh buat, gua kena redah juga, kalau tak ketinggalan la gua nak layan drama Spektra: Budak Bijak yang selalu ditayangkan jam 7 malam tu.

Dengan lafaz bismillah gua mulakan perjalanan. Guruh pula dah mula berdentam-dentum. Hish, tak tolak ansur langsung dengan gua yang balik kayuh basikal secara bersendirian ni. Bila hujan ni, jalan pun jadi licin. Jadi pengayuhan gua lebih menitikberatkan pembrekkan. Takut kalau terlambat brek, nescaya nahas menimpa.

Dipendekkan cerita, gua dah hampir nak sampai rumah. Sebelum tu gua perlu seberang satu jalan yang terakhir untuk sampai ke rumah gua yang berjarak 500 meter sahaja lagi. Hujan kala itu semakin lebat, songkok gua habis berat akibat penyerapan air yang berlebihan. Mata pun dah kabur-kabur pasal hujan lebat merejam mata gua. Namun begitu, peraturan lalu lintas tetap tersemat dalam akal.

Gua pandang kanan, kemudian kiri dan kemudian kanan kembali. Bila dah yakin tiada kereta, gua mula mengayuh. Tapi, entah macam mana bila elok saja kaki gua nak pijak pengayuh, ada sebuah kereta tiba-tiba meluru laju ke arah gua. Waktu tu gua rasa ragu-ragu nak lintas ke tidak. Gua pun ambil keputusan tak melintas. Namun begitu, kereta itu tetap nak menuju ke arah gua walaupun gua dah ambil keputusan tak nak melintas. Dalam hati dah berkata, "Ah sudah!"

Bammm!

Gua terbaring bersama-sama basikal gua. Kereta tu pula tiada cacat cela. Kereta tu tergamam sekejap, kemudian terus memecut pergi tanpa menghiraukan keadaan gua. Gua masa tu dah rasa macam superman, badan gua tak sakit-sakit langsung. Luka tiada, darah tiada, bengkak-bengkak pun tiada. Semua masih setedi macam biasa. Basikal gua pun, perghh! Hebat, tak ada bengkang-bengkok langsung! Padahal kuat juga gua kena langgar tadi.

Selepas memastikan segalanya selamat, gua pun meneruskan perjalanan pulang gua sambil mendendangkan lagu 'Hujan' nyanyian Allahyarham Sudirman.

Tuesday, September 13, 2011

Radio burok

Waktu itu gua baru darjah 5, kalau tak silap. Mak bapak gua pun masa tu tak ada dalam rumah, pasal dah keluar pergi mana entah, beli barang dapur agaknya. Adik beradik gua yang lain ada la, tapi sibuk buat urusan masing-masing. Jadi, kesempatan yang ada ni, gua ajak kawan-kawan gua menziarahi rumah gua. Kawan-kawan gua yang kebetulan memang tengah kehausan akibat mengayuh basikal terlalu laju tidak teragak-agak untuk menerima pelawaan gua.

Dua orang kawan gua iaitu Mad dan Kamarul ini merupakan pasangan adik-beradik. Berkawan dengan mereka ini sangat menarik. Mereka berdua ni jenis having fun punya orang walaupun benda tu kadang-kadang tak berapa nak fun pun. Sambil-sambil lepak minum air dalam rumah gua tu, Kamarul pun bertanya.

"Weh Wan, ko ada radio tak?"

"Ada la, kenapa, ko nak buat apa?"

"Ko bawak datang sini, ada benda aku nak tunjuk."

Disebabkan gua nampak muka Kamarul macam excited sangat, gua pun tergesa-gesa mengambil radio gua. Mujur waktu tu, abang gua yang rajin dengar radio tu tak dengar radio, dia tengah sibuk baca majalah Gila-Gila yang tengah hit waktu itu.

"Ko nampak kaset ni? Jom dengar apa isinya," kata Kamarul sambil tersenyum kerang-kerang busuk.

Gua pun dah beria-ria sangat waktu tu. Mad yang duduk sebelah gua pun dah menggigil-gigil tahan gelak. Gua dah boleh jangka ini adalah satu benda sangat best untuk dinikmati bersama.

"So, are you ready guys?" tanya Kamarul dalam bahasa inggeris. Bersahaja sungguh gayanya.

Gua dan Mad pun mengangguk tanda ready.

Kamarul menekan button play.

Power!

***

Sepanjang tengah hari itu, gua, Kamarul dan Mad masing-masing bergilir-gilir merekod bunyi kentut kami. Kadang-kadang bunyi kentut gua yang kuat, kadang-kadang bunyi kentut Kamarul pula yang kuat dan kadang-kadang juga bunyi kentut Mad yang kuat. Kami bertiga berasa sungguh nikmat pada hari itu. Lebih-lebih lagi bila bunyi kentut kami dimainkan semula, seronok yang amat!