Monday, September 26, 2011

Hujan

Kringgg!

Masa untuk gua belajar hal-hal agama dah tamat. Belajar di sekolah agama membolehkan gua lebih memahami ilmu-ilmu feqah, tajwid, tauhid dan bahasa arab. Lantaran itu, ia mampu mendidik gua menjadi insan yang berguna kepada agama dan bangsa.

Agama, agama juga, tapi bila hujan, seriau juga nak balik. Hari tu hujan bukan main lebat lagi. Entah macam mana boleh lebat pun gua tak tau. Padahal, nampak macam cerah sebelum tu, ni tiba-tiba pula hujan lebat. Sebagai murid darjah 5, balik rumah naik basikal seorang diri dalam keadaan hujan adalah sesuatu perkara yang sangat tak kool walaupun bermandi hujan itu sejuk.

Namun begitu, mak gua awal-awal lagi dah buat persiapan untuk gua menghadapi hari hujan ni. Maka dengan pantas gua bawa keluar baju hujan gua yang berwarna kuning pekat itu dan sarungkan ke atas badan gua. Nampak gaya, gua dah bersedia nak meredah hujan.

Jarak sekolah agama gua ke rumah gua ada la dalam 7 kilometer juga jauhnya. Kira mencabar jugalah nak mengayuh jauh-jauh lebih-lebih lagi dalam keadaan hujan. Tapi apa boleh buat, gua kena redah juga, kalau tak ketinggalan la gua nak layan drama Spektra: Budak Bijak yang selalu ditayangkan jam 7 malam tu.

Dengan lafaz bismillah gua mulakan perjalanan. Guruh pula dah mula berdentam-dentum. Hish, tak tolak ansur langsung dengan gua yang balik kayuh basikal secara bersendirian ni. Bila hujan ni, jalan pun jadi licin. Jadi pengayuhan gua lebih menitikberatkan pembrekkan. Takut kalau terlambat brek, nescaya nahas menimpa.

Dipendekkan cerita, gua dah hampir nak sampai rumah. Sebelum tu gua perlu seberang satu jalan yang terakhir untuk sampai ke rumah gua yang berjarak 500 meter sahaja lagi. Hujan kala itu semakin lebat, songkok gua habis berat akibat penyerapan air yang berlebihan. Mata pun dah kabur-kabur pasal hujan lebat merejam mata gua. Namun begitu, peraturan lalu lintas tetap tersemat dalam akal.

Gua pandang kanan, kemudian kiri dan kemudian kanan kembali. Bila dah yakin tiada kereta, gua mula mengayuh. Tapi, entah macam mana bila elok saja kaki gua nak pijak pengayuh, ada sebuah kereta tiba-tiba meluru laju ke arah gua. Waktu tu gua rasa ragu-ragu nak lintas ke tidak. Gua pun ambil keputusan tak melintas. Namun begitu, kereta itu tetap nak menuju ke arah gua walaupun gua dah ambil keputusan tak nak melintas. Dalam hati dah berkata, "Ah sudah!"

Bammm!

Gua terbaring bersama-sama basikal gua. Kereta tu pula tiada cacat cela. Kereta tu tergamam sekejap, kemudian terus memecut pergi tanpa menghiraukan keadaan gua. Gua masa tu dah rasa macam superman, badan gua tak sakit-sakit langsung. Luka tiada, darah tiada, bengkak-bengkak pun tiada. Semua masih setedi macam biasa. Basikal gua pun, perghh! Hebat, tak ada bengkang-bengkok langsung! Padahal kuat juga gua kena langgar tadi.

Selepas memastikan segalanya selamat, gua pun meneruskan perjalanan pulang gua sambil mendendangkan lagu 'Hujan' nyanyian Allahyarham Sudirman.

Tuesday, September 13, 2011

Radio burok

Waktu itu gua baru darjah 5, kalau tak silap. Mak bapak gua pun masa tu tak ada dalam rumah, pasal dah keluar pergi mana entah, beli barang dapur agaknya. Adik beradik gua yang lain ada la, tapi sibuk buat urusan masing-masing. Jadi, kesempatan yang ada ni, gua ajak kawan-kawan gua menziarahi rumah gua. Kawan-kawan gua yang kebetulan memang tengah kehausan akibat mengayuh basikal terlalu laju tidak teragak-agak untuk menerima pelawaan gua.

Dua orang kawan gua iaitu Mad dan Kamarul ini merupakan pasangan adik-beradik. Berkawan dengan mereka ini sangat menarik. Mereka berdua ni jenis having fun punya orang walaupun benda tu kadang-kadang tak berapa nak fun pun. Sambil-sambil lepak minum air dalam rumah gua tu, Kamarul pun bertanya.

"Weh Wan, ko ada radio tak?"

"Ada la, kenapa, ko nak buat apa?"

"Ko bawak datang sini, ada benda aku nak tunjuk."

Disebabkan gua nampak muka Kamarul macam excited sangat, gua pun tergesa-gesa mengambil radio gua. Mujur waktu tu, abang gua yang rajin dengar radio tu tak dengar radio, dia tengah sibuk baca majalah Gila-Gila yang tengah hit waktu itu.

"Ko nampak kaset ni? Jom dengar apa isinya," kata Kamarul sambil tersenyum kerang-kerang busuk.

Gua pun dah beria-ria sangat waktu tu. Mad yang duduk sebelah gua pun dah menggigil-gigil tahan gelak. Gua dah boleh jangka ini adalah satu benda sangat best untuk dinikmati bersama.

"So, are you ready guys?" tanya Kamarul dalam bahasa inggeris. Bersahaja sungguh gayanya.

Gua dan Mad pun mengangguk tanda ready.

Kamarul menekan button play.

Power!

***

Sepanjang tengah hari itu, gua, Kamarul dan Mad masing-masing bergilir-gilir merekod bunyi kentut kami. Kadang-kadang bunyi kentut gua yang kuat, kadang-kadang bunyi kentut Kamarul pula yang kuat dan kadang-kadang juga bunyi kentut Mad yang kuat. Kami bertiga berasa sungguh nikmat pada hari itu. Lebih-lebih lagi bila bunyi kentut kami dimainkan semula, seronok yang amat!